Oleh Asrizal Aris

Tapah: Dua beranak dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam empat mangsa di bengkel kenderaan di Jalan Pahang, dekat Plaza Tol Tapah, dibebaskan namun ditahan semula.

Kedua-dua beranak itu bakal reman 21 hari mengikut Seksyen 31 Akta Pencegahan Jenayah pindaan 2015 (POCA).

Mahkamah Majistret Tapah, hari ini, membebaskan mereka selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.

Bagaimanapun, kedua-duanya ditahan semula dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, pada 8.45 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Goh Kok Liang, berkata kedua-dua suspek utama dibebaskan atas nasihat Ketua Unit Pendakwaan Perak kerana identiti mangsa tidak dapat dikenalpasti.

"Laporan ahli kimia tidak dapat mengesan DNA daripada serpihan tulang serta beberapa barang lain yang dihantar untuk analisa.

"Bagaimanapun, kedua-dua suspek (bapa & anak) ditangkap semula mengikut Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 Pindaan 2012. “Mereka akan di reman, esok, bagi menyiapkan siasatan bagi tujuan tindakan mengikut POCA," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, Ketua Unit Pendakwaan juga menasihatkan polis supaya siasatan diteruskan (di lokasi kejadian) untuk mencari keterangan berkait kes pembunuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:41 AM