GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


SARAWAK merancang menubuhkan pasukan penguat kuasa maritim sendiri untuk menguatkuasakan undang-undang perikanan di negeri ini.

Penubuhan unit baharu itu dirancang mengikut pindaan Ordinan Perikanan Negeri (2003) yang sedang dirangka ketika ini untuk mengurus industri perikanan pantai dan sungai di Sarawak dengan lebih baik.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, unit penguat kuasa itu akan mempunyai kuasa untuk mengawal kawasan pesisir, termasuk menahan nelayan asing yang menceroboh perairan negeri.

Beliau berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, sungai dan penangkapan ikan di Sarawak berada di bawah kuasa negeri dan tiba masanya bagi kerajaan Sarawak untuk meminda undang-undang mengikut kehendak negeri.

“Pindaan undang-undang itu akan membolehkan kerajaan mengurus dan mentadbir aktiviti penangkapan ikan di sungai dan perairan Sarawak dengan cara yang tersusun dan terancang.

“Peguam Negeri sedang meneliti pindaan undang-undang itu tetapi mungkin dibentangkan di Dewan Undangan Negeri pada April tahun depan jika ia tidak dapat dibentangkan pada persidangan November ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Penanaman Tukun Tiruan di Pekan Sabtu Oya, Mukah, hari ini.

Abang Johari berkata, kali terakhir undang-undang berkaitan perikanan di Sarawak dipinda ialah pada 2003.

Mengenai program penanaman tukun tiruan, beliau berkata, kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan RM70 juta untuk melaksanakannya di sepanjang lebih 1,000 kilometer perairan dari Sematan hingga ke Lawas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 8:45 PM