PASUKAN  Melaka meraikan kejayaan muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2015, kelmarin.
PASUKAN Melaka meraikan kejayaan muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2015, kelmarin.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) akan memastikan saingan Piala Tun Abdul Razak menjadi pertandingan hoki paling utama di negara ini sekali gus mengembalikan era kegemilangan kejohanan itu satu ketika dulu.

Presiden MHC Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) berkata, sudah tiba masanya untuk kejohanan hoki tertua itu kembali menjadi tumpuan di negara ini.

“Seperti yang anda sedia maklum, suatu ketika dulu Piala Tun Abdul Razak adalah kejohanan yang paling utama dan cukup meriah.

“Tapi sekarang sambutannya semakin hambar. Mungkin sebab ada beberapa kejohanan lain seperti Liga Hoki Malaysia.

“Di dalam perancangan saya, memang kami mahu cuba kembalikan semula kemeriahan kejohanan ini.

“Bagi saya, kejohanan ini perlu dijadikan sebagai pertandingan paling utama di dalam negara,” katanya.

Jelas Subahan, perkara itu akan diteliti Jawatankuasa Pertandingan yang dipengerusikan Timbalan Presiden George Koshy.

Penamat edisi ke-53 saingan Piala Tun Abdul Razak kelmarin menyaksikan Melaka menewaskan juara bertahan, Perak 1-0 pada aksi final.

Kuala Lumpur muncul pasukan paling berjaya apabila menjulang piala berprestij itu 19 kali.

Kejohanan itu dilihat semakin hambar sejak diperkenalkan pada 1963 dengan tumpuan kini lebih terarah kepada saingan Liga Hoki Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:27 AM