MANGSA terbaring selepas terjatuh dari tingkat tiga pangsapuri.
MANGSA terbaring selepas terjatuh dari tingkat tiga pangsapuri.
Oleh Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Remaja perempuan parah selepas terjatuh dari tingkat tiga kediaman yang disewa bersama ahli keluarganya di pangsapuri Jalan Kayu Madang Telipok, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.45 malam itu, mangsa Nur Farah Atirah Faizal Rizal, 13, dikejarkan ke Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan lanjut.

Mangsa mengalami retak tempurung kepala selain pendarahan dalam kepala namun dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika menyidai baju yang sudah dibasuh oleh ibunya di balkoni pangsapuri berkenaan.

"Kejadian itu hanya disedari apabila bapa mangsa selepas terdengar dentuman kuat dan terus keluar ke balkoni sebelum mendapati anaknya berada dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di lantai simen," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di HQE 2.

Rumah itu adalah rumah persinggahan keluarga yang tinggal di Labuan itu sempena cuti sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 2:57 PM