Oleh Shaiffulazhar Misri

Sebut saja mengenai tempe, pasti ramai yang mengaitkannya sebagai sejenis makanan tradisi yang biasa dinikmati masyarakat keturunan Jawa.

Makanan yang kaya dengan pelbagai khasiat itu boleh didapati secara meluas di negara ini terutama di selatan tanah air.

Bagi yang belum mengetahui kaedah pembuatan tempe, ia sebenarnya dihasilkan menerusi proses penapaian kacang soya.

Bagaimana pun, cara penyediaannya perlu dilakukan dengan rapi bagi memastikan proses penapaian siap sepenuhnya dalam masa tiga hingga empat hari.

Bagi pengusaha tempe tradisional, Ibrahim Wadi, 63, dia menjalankan perniagaan tempe yang diwarisi daripada keluarganya sejak 1960.

Ibrahim yang dibantu isterinya, Maznah Ya'akub, 59, menjalankan perniagaan itu di sebuah bengkel pemprosesan yang terletak bersebelahan rumahnya di Kampung Parit Begelen, Parit Yusuf, Muar.

Ibrahim berkata, pada awalnya perniagaan itu dilakukan secara kecil-kecilan, namun kuantiti pengeluaran tempe berkenaan ditambah selepas ia semakin mendapat sambutan.

"Saya dan isteri ha­nya serius membuat tempe kira-kira 12 tahun lalu selepas mendapat ba­nyak permintaan daripada masyarakat setempat.

"Disebabkan itu, selain bantuan ahli keluarga, kami berdua juga me­ngambil beberapa pekerja untuk melancarkan proses pembuatan tempe.

"Alhamdulillah, sehingga hari ini tempe yang dihasilkan masih mendapat sambutan," katanya.

Ibrahim berkata, proses penyediaan tempe itu memerlukan teknik dan kemahiran tersendiri kerana jika tersalah adunan, ia tidak sesedap kebiasaannya.

Dia dan pekerja memulakan proses pembuatan tempe kira-kira jam 8 pagi dengan merebus dulu kacang soya yang kemudiannya ditapis dan dikeringkan.

"Selepas itu, ia digaul dengan ragi dan dibung­kus. Ia dibiarkan melalui proses penapaian yang mengambil masa antara tiga hingga empat hari. Kemudian, barulah ia boleh dijual," katanya.

Menurut Ibrahim, permintaan untuk produk tempe menjelang sesuatu perayaan utama seperti Aidilfitri meningkat berkali ganda berbanding biasa dan ketika itu, pekerja­nya memang tidak menang tangan.

Ini kerana, selain tempe mentah, dia juga mengeluarkan produk lain seperti kerepek tempe yang turut mendapat sambutan ha­ngat.

"Untuk kerepek tempe, kami biasanya menjual secara pukal kepada pelang­gan untuk dipasarkan ke seluruh negara.

"Untuk tempe mentah pula, kebanyakannya dipasarkan untuk pasaran tempatan iaitu di sekitar Muar saja," katanya yang pernah melakukan kerja pembungkusan bermula pagi hingga ke malam bagi memenuhi tempahan sempena musim perayaan.

Isterinya, Maznah memberitahu, perusahaan tempe yang dilakukan suaminya itu turut mendapat perhatian ramai hing­ga ada yang bertandang ke rumah mereka semata-mata mahu mempelajari proses pembuatannya.

Boleh dikatakan hampir setiap bulan ada saja pelajar daripada institusi pendidikan termasuk pelancong luar negara yang berkunjung semata-mata mahu mempelajari pembuatan makanan berkenaan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang mahu mempelajari proses pembuatan tempe ini kerana ia adalah juadah tradisi yang mempunyai banyak khasiat.

"Mereka diajar cara membuat tempe ini bermula di peringkat awal sehingga proses pembung­kusan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai selama mana mahu meneruskan perniagaan membuat tempe itu, Maznah berkata, mereka berdua akan meneruskannya selagi mempunyai daya dan kudrat.

Ini kerana makanan itu sentiasa digemari dan permintaannya tidak pernah berkurangan.

"Sama ada mentah atau sudah digoreng, tempe sememangnya sentiasa digemari bukan saja oleh ma­syarakat Jawa saja, tetapi kini diterima oleh semua.

"Ia mungkin berkait rapat dengan kandungan khasiatnya yang baik untuk kesihatan selain rasa­nya yang enak dan membuka selera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM