Kehebatan Queen tidak perlu dipertikaikan. Dengan rock sebagai tunjang muzik, mereka mencetuskan variasi dalam muzik dengan menggabungkan pelbagai elemen rock seperti progresif rock, heavy metal, glam rock, hard rock, psychedelic rock, termasuklah muzik seperti gospel dan opera.

Dalam kebanyakan lagu, Queen juga gemar menggunakan banyak lapisan vokal (kadang-kadang melebihi 100) dan koir.

Selain itu, kehebatan anggotanya seperti Freddie Mercury (penyanyi, piano), Brian May (gitar), John Deacon (bass) dan Roger Taylor (dram) membuatkan muzik yang dihasilkan cukup luas walaupun dengan peralatan muzik asas.

Queen juga dikenali dengan motto 'no synthesizers were used on this record' (tidak ada synthesizers digunakan dalam album ini) dan muzik mereka hanya dihasilkan dengan bunyi daripada gitar, dram, bass dan piano saja.

Bunyian seperti synthesizers dan keyboard itu sebenarnya terhasil daripada kreativiti May dengan teknik permainan gitarnya.

Album 'live' berkembar ini dirakam ketika konsert Queen di The Rainbow, London pada 1974.

Dalam CD pertama menampilkan konsert sempena tour album kedua mereka, Queen II pada Mac 1974 manakala CD kedua konsert ketika tour album ketiga, Sheer Heart Attack pada November 1974.

Album pertama mereka iaitu Queen dipasarkan pada 1973.

Apa yang menarik, kedua-dua konsert itu mendapat sambutan hebat dan semua tiket habis dijual.

Queen yang ketika itu sudah mula popular dengan lagu seperti Father To Son, Killer Queen, Stone Cold Crazy dan Son And Daughter dilihat bakal menakluk persada muzik.

Gabungan Mercury dan May sebagai 'frontman' sudah memperlihatkan mereka adalah bakal band rock legenda ketika itu.

Sebanyak 41 lagu 'live' dimuatkan dalam album ini seperti Father To Son, Son And Daughter, White Queen, Keep Yourself Alive, Seven Seas of Rhye, Now I'm Here, Stone Cold Crazy, Big Spender, Liar dan Flick of The Wrist.

INFO

ARTIS: Queen

ALBUM: Live At The Rainbow'74

TERBITAN/EDARAN: Virgin/Universal Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 November 2014 @ 5:00 AM