Sejak mula dikenali pada 2012, The Vamps dilabelkan sebagai 'boy band' dan dibandingkan dengan 'boy band' lebih popular iaitu One Direction.

Namun mereka tidak menyukainya kerana The Vamps ditubuhkan mereka sendiri dan bukannya produk daripada syarikat rakaman. Selain itu, mereka juga memainkan sendiri alat muzik.

Bertunjangkan muzik pop rock, dalam album sulung ini The Vamps turut mengetengahkan muzik pop akustik seperti Ed Sheeran yang digabungkan dengan sentuhan pop dan rock seperti One Direction dan 5 Seconds Of Summer.

Muzik mereka mungkin kedengaran biasa, tetapi The Vamps tetap memiliki kekuatan terutama dengan kemampuan mereka dalam persembahan 'live' selain mencipta lagu-lagu sendiri.

Saya sendiri pernah menyaksikan sendiri persembahan mereka ketika membuat liputan konsert Selena Gomez: Star Dance Tour di London pada September 2013.

The Vamps yang tampil sebagai artis jemputan memberikan persembahan mantap dan bertenaga. Jelas sekali mereka berbakat besar dalam muzik.

Tidak hairanlah hampir 3,000 penonton di Hammersmith Appolo Theatre yang sebahagian besarnya terdiri daripada anak-anak gadis menjerit histeria ketika persembahan mereka.

Bukan saja bakat, wajah comel dan 'jambu' The Vamps yang dianggotai Bradley Simpson (penyanyi, gitar), James McVey (gitar), Connor Ball (bass) dan Tristan Evans (dram) menjadi punca mereka dipuja ramai gadis.

Album ini mengandungi 15 lagu termasuk single popular mereka seperti Can We Dance, Last Night, Wild Heart dan Somebody To You.

Mereka juga merakamkan kembali lagu Oh Cecilia (Breaking My Heart) yang dirakamkan Simon & Garfunkel pada 1970.

INFO

ARTIS: The Vamps

ALBUM: Meet The Vamps

TERBITAN/EDARAN: Virgin EMI Records

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:01 AM