Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon.

Saya seperti beberapa rakan mempunyai masalah berkaitan kewangan. Saya kini menuntut di salah sebuah universiti tempatan dan berada pada tahun dua pengajian. Saya berasal daripada keluarga yang sederhana dan tertekan kerana sentiasa berasa kekurangan dari segi kewangan. Rupa-rupa­nya ini bukan menjadi masalah saya saja.

Rata-rata rakan yang menuntut di universiti menghadapi masalah tidak cukup wang untuk berbelanja. Memang diakui kami menerima bantuan tetapi sentiasa tidak mencukupi.

Saya tidak tahu sama ada ini disebabkan pe­ngurusan kewangan kami yang tidak bijak atau ada faktor lain. Jika ini berlaku, apakah yang patut kami lakukan untuk bijak dalam menangani tekanan itu. Kami runsing memikirkan wang pembiayaan pelajaran yang tidak cukup serta memikirkan hutang yang terpaksa ditanggung selepas tamat pengajian nanti.

SUSAH HATI

Pahang

Sebagai seorang pelajar yang mengharapkan pembiayaan, amat penting anda menggunakan pembiayaan itu sebaik-baiknya. Uruskanlah duit itu secara bijak. Utamakan apa yang perlu saja dan ingat tujuan asal wang itu adalah untuk pembelajaran.

Hutang yang terlalu ba­nyak selepas tamat belajar adalah satu perkara yang sangat merunsingkan, jadi adik perlu menjadikan ia motivasi untuk meraih kelas pertama supaya pembiayaan pinjaman itu bertukar menjadi biasiswa.

Dr akui untuk memperoleh ijazah kelas pertama bukanlah satu perkara yang mudah tetapi bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Usaha sangat berkait dengan kejayaan seseorang. Lazimnya semakin kuat seseorang berusaha, semakin tinggi kejayaan dicapai.

Ternyata juga, adik perlu mencari pekerjaan untuk membayar balik wang pinjaman itu. Dalam suasana sukar bagi graduan untuk mendapat pekerjaan, adik tidak boleh terlalu memilih pekerjaan.

Mulakan dengan pekerjaan yang dapat menampung diri adik untuk membayar balik pinjaman. Ketika ini usahakan untuk mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelayakan dan minat adik. Dalam konteks ini, adik dapat membayar balik wang pinjaman itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:58 AM