AMBIL tindakan untuk menangani hutang secepat mungkin sekali gus dapat mengelak kesan besar terhadap masa depan kewangan.
AMBIL tindakan untuk menangani hutang secepat mungkin sekali gus dapat mengelak kesan besar terhadap masa depan kewangan.
Muhammad Saufi Hassan

Berbelanja di luar kemampuan dan tidak memiliki ilmu pengurusan kewangan yang baik menjadi faktor golongan di bawah umur 45 tahun sering terjerat dengan isu muflis.

Wujud juga faktor luar jangka akibat krisis ekonomi seperti pengangguran serta dibuang kerja dalam tempoh pembiayaan pinjaman berkenaan sehingga mengakibatkan peminjam mempunyai kesukaran untuk menjelaskan hutang bulanan.

Wartawan Kafe Ahad, MUHAMMAD SAUFI HASSAN mewawancara pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) PROF DR ABDUL RAHIM ABDUL SAMAD bagi mengupas isu ini.

Hilang kerja seterusnya sukar melunaskan pinjaman. Bagaimana faktor ini menyebabkan golongan muda diisytihar muflis?

Jika golongan muda kehilangan pekerjaan atau menghadapi penurunan dalam pendapatan mereka, ia mungkin menjadi sukar bagi mereka untuk membayar semula pinjaman.

Pada masa sama, ada dalam kalangan golongan muda sanggup membuat pinjaman walaupun dengan kadar faedah tinggi dan ia menyebabkan hutang mereka menjadi tidak terurus dengan cepat.

Ini antara keadaan dihadapi sekarang tambahan lagi Bank Negara Malaysia (BNM) sudah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) mengakibatkan peningkatan bayaran bulanan kepada bank.

Golongan ini juga kurang bijak dalam pengurusan kewangan tentang mencorak perbelanjaan untuk masa depan.

Jika ada golongan belia yang sudah terlambat tersedar dengan jerat ini dan dibebani hutang, apakah yang boleh mereka lakukan?

Jika ada belia terjerat dengan jumlah hutang yang banyak, ada beberapa langkah boleh diambil.

Langkah pertama melakukan penaksiran hutang. Kita boleh lakukan dengan menyenaraikan semua hutang termasuk pemiutang, kadar faedah dan bayaran bulanan minimum untuk setiap hutang.

Kedua, utamakan pembayaran balik hutang. Tentukan hutang mana perlu dibayar dahulu, utamakan hutang yang ada kadar faedah atau yuran tertinggi.

Pertimbang untuk menyatukan hutang bagi memudahkan pembayaran bulanan anda dan berpotensi mengurangkan kadar faedah.

Cari cara kurangkan perbelanjaan tidak perlu seperti langganan siaran televisyen berbayar, tabiat minum dan makan di kafe berjenama dan sebagainya.

Seterusnya, tambah pendapatan. Jana pendapatan tambahan seperti kerja sambilan dalam ekonomi gig, perniagaan secara dalam talian dan lain-lain.

Selain itu, dapatkan bantuan agensi sedia ada. Pertimbangkan untuk hubungi penasihat kewangan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Penting untuk mengambil tindakan dan menangani hutang secepat mungkin, kerana ia boleh memberi kesan yang besar pada masa depan kewangan.

Jadilah proaktif, kekal positif dan fokus pada mencari penyelesaian yang paling sesuai.

Nasihat Prof berhubung pengurusan kewangan berhubung isu ini?

Pada pandangan saya, ada beberapa petua umum untuk golongan muda urus kewangan dengan berkesan.

Pertama, sediakan belanjawan. Ini bermaksud mulakan dengan menjejaki pendapatan dan perbelanjaan untuk mendapatkan gambaran jelas tentang keadaan kewangan sendiri.

Kemudian, buat belanjawan yang memperincikan keperluan seperti perumahan, makanan dan pengangkutan, serta perbelanjaan dan simpanan untuk masa depan.

Kedua, simpan untuk kecemasan. Mempunyai dana kecemasan boleh membantu mengatasi perbelanjaan tidak dijangka tanpa bergantung pada kad kredit atau pinjaman bank.

Dana kecemasan sara hidup yang ideal antara tiga hingga enam bulan dalam akaun yang selamat dan mudah diakses.

Ketiga, melabur dalam diri. Tingkat pendidikan, laksana pembangunan kerjaya atau peluang lain yang boleh membantu membina masa depan kewangan yang stabil.

Data Jabatan Insolvensi menunjukkan ramai belia diisytihar muflis kerana pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan dan hutang kad kredit. Pada penilaian Prof, mengapa senario ini boleh berlaku?

Secara umumnya, pengisytiharan muflis disebabkan beberapa gabungan faktor sama ada faktor dijangka atau faktor luar jangka.

Antara sebab utama ialah pengangguran atau kekurangan pekerjaan. Jika golongan muda hilangan pekerjaan atau menghadapi penurunan dalam pendapatan mereka, ia mungkin menjadi sukar bagi mereka untuk membayar balik hutang.

Kedua, kadar faedah tinggi. Jika golongan muda membuat pinjaman dengan kadar faedah tinggi, hutang mereka boleh menjadi tidak terurus dengan cepat.

Ini antara keadaan dihadapi sekarang yang mana BNM menaikkan OPR yang mengakibatkan peningkatan bayaran bulanan kepada bank.

Ketiga pula gaya hidup di luar kemampuan mereka. Golongan muda mungkin menggunakan kad kredit dan pinjaman peribadi untuk membiayai gaya hidup yang mereka tidak mampu yang boleh membawa kepada pengumpulan hutang daripada semasa ke semasa.

Keempat, kurang celik kewangan. Ramai orang muda tiada pengetahuan dan pemahaman tentang cara mengurus kewangan mereka dengan berkesan yang boleh membawa kepada keputusan kewangan yang lemah.

Terakhir adalah perbelanjaan tidak dijangka seperti bil perubatan atau membaiki kereta juga boleh menyumbang kepada tekanan kewangan dan meningkatkan kemungkinan mengisytiharkan muflis.

Apakah segelintir belia yang terjerat dengan masalah muflis ini berbelanja di luar kemampuan bulanan?

Ya, berbelanja di luar kemampuan adalah faktor biasa yang boleh menyumbang kepada muflis dalam kalangan anak muda.

Ini boleh berlaku apabila individu mengambil lebih banyak hutang daripada yang mereka boleh bayar semula secara realistik seperti melalui pembelian kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman kereta dan bergelut untuk membuat pembayaran diperlukan.

Lama kelamaan, hutang boleh terkumpul dan menjadi besar lantas membawa kepada kesukaran kewangan dan muflis.

Penting bagi setiap individu mengambil berat tentang tabiat berbelanja mereka dan memastikan mereka hidup mengikut kemampuan.

Ada kes muflis yang mana golongan belia mahu dilihat 'bergaya' memakai kenderaan import, telefon mahal. Apakah cara hidup ini menjerat belia masa kini?

Keinginan mengikuti norma masyarakat dan dilihat sebagai 'bergaya' atau berjaya boleh mendorong segelintir orang muda berbelanja di luar kemampuan serta mengumpul hutang.

Ini termasuk keinginan memiliki kenderaan import, telefon mahal dan barangan mewah lain yang dilihat sebagai simbol status.

Keinginan menyesuaikan diri dan diterima boleh menjadi pendorong yang kuat, terutama dalam kalangan anak muda yang masih mengembangkan jati diri.

Bagaimanapun, adalah penting untuk diingat barangan mewah ini selalunya datang dengan kos kewangan yang besar dan mengambil hutang untuk mengekalkan gaya hidup tertentu boleh membawa akibat yang serius dalam jangka masa panjang.

Kuncinya berhati-hati terhadap tabiat perbelanjaan dan utamakan kestabilan kewangan dan keselamatan berbanding keuntungan jangka pendek atau untuk mengelak tekanan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Februari 2023 @ 7:05 AM