GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Mohamad Shakil Hameed

Ancaman pandemik Covid-19 bukan saja mencetuskan krisis kesihatan, tetapi turut menjejaskan kedudukan ekonomi dan kewangan anggota masyarakat. Dalam situasi yang genting ini setiap individu perlu lebih bijak menguruskan sumber kewangan masing-masing supaya tidak terjerumus ke dalam perangkap muflis. Kita khuatir kegagalan menguruskan hutang yang ada boleh menyebabkan bilangan rakyat yang diisytihar muflis meningkat secara mendadak.

Kita perlu akui kenyataan betapa kerajaan terpaksa membuat pilihan antara kepentingan ekonomi dan kedudukan kesihatan rakyat. Akhirnya kerajaan memilih untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat, justeru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan secara berfasa sejak setahun yang lalu, termasuk sekatan pergerakan penuh (SPP) 3.0 yang sedang berkuat kuasa sekarang. Demi mengurangkan pergerakan rakyat dan memutuskan penularan wabak, hampir semua sektor ekonomi terpaksa ditutup dan kita berhadapan dengan situasi ramai yang terjejas sumber pendapatan.

Golongan yang bekerja sendiri serta berpendapatan rendah dan sederhana dilihat cukup terkesan apabila sama ada hilang pekerjaan dan pendapatan secara total ataupun berlaku pengurangan pendapatan bulanan secara mendadak. Ini sekali gus menyebabkan golongan ini mula menghadapi masalah untuk membayar balik ansuran bulanan pinjaman mereka mengikut jadual.

Mengikut Jabatan Insolvensi Malaysia, jumlah kes kebankrapan yang direkodkan selepas moratorium berakhir pada tahun lalu adalah sebanyak 933 kes bagi Oktober, 419 kes bagi November dan 711 kes pada Disember. Rekod pada 2021 pula menunjukkan, 459 kes bagi Januari, 445 kes bagi Februari dan Mac sebanyak 960 kes. Walaupun statistik ini tidak memberi gambaran menyeluruh kesan sebenar pandemik dan PKP, kita khuatir jika anggota masyarakat tidak waspada dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya, lebih ramai lagi akan diisytihar bankrap.

Secara umumnya, majoriti kes yang diisytihar bankrap di negara ini dilaporkan berpunca daripada pinjaman peribadi diikuti dengan pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan kad kredit. Jadi, setiap individu yang ada pinjaman ini perlu lebih berhati-hati pada musim pandemik dan PKP ini supaya dapat menguruskan bayaran balik pinjaman seperti yang diperlukan.

Dalam konteks ini, peminjam perlu terus berikhtiar untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang iaitu tanpa merugikan pemberi pinjaman. Misalnya, jika kita berada dalam situasi diberhentikan kerja atau berlakunya pengurangan yang ketara dalam sumber pendapatan akibat daripada pandemik, kita perlu mencari jalan untuk mengadakan perbincangan dengan pihak pemberi pinjaman dengan segera.

Peminjam tidak boleh terus berdiam diri atau cuba melarikan diri daripada institusi kewangan yang terbabit kerana ia boleh mengakibatkan kita diheret ke mahkamah serta diisytihar muflis. Oleh itu, peminjam perlu segera bertindak dan mengambil langkah proaktif untuk memulakan sesi perbincangan. Kita percaya pemberi pinjaman juga sangat memahami keadaan sukar yang dihadapi oleh seluruh rakyat Malaysia, lantas pasti akan ada unsur timbang rasa jika kita berunding dengan baik untuk mengurangkan ansuran atau menangguhkan bayaran.

Perkara ini penting kerana buat masa sekarang mungkin peminjam boleh menarik nafas lega kerana kerajaan bersetuju untuk memberikan moratorium secara automatik dengan pilihan sama ada moratorium selama tiga bulan atau pengurangan bayaran balik ansuran sebanyak 50 peratus selama enam bulan. Namun, kita khuatir situasi boleh kembali genting setelah tempoh moratorium itu tamat kerana tidak ada sebarang jaminan apabila ancaman pandemik ini akan berakhir serta bila ekonomi negara akan kembali pulih dan kukuh seperti biasa.

Dalam hal ini, peminjam juga wajar menggunakan perkhidmatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang sentiasa bersedia untuk membantu mereka yang sedang mengalami masalah pembayaran balik pinjaman. Sebelum diisytihar bankrap dan terlambat, peminjam perlu segera rujuk dan mendapatkan khidmat nasihat daripada AKPK kerana mereka tidak boleh membantu selepas diisytihar bankrap.

Antara bantuan signifikan AKPK ialah berbincang dengan pihak bank untuk menstruktur semula bayaran pinjaman di samping membantu mendapatkan sumber pendapatan tambahan melalui pekerjaan sambilan dan perniagaan dalam talian. Jadi peminjam perlu bertindak segera dan jangan amalkan sikap tunggu dan lihat sehingga nasi menjadi bubur. Untuk rekod, AKPK dilaporkan membantu lebih 300,000 individu daripada terjerumus ke status muflis setakat ini.

Tuntasnya, peminjam perlu bersikap positif dan yakin bahawa masalah ini boleh diselesaikan dan untuk itu kena bertindak dengan segera dan mendapatkan bantuan dari pihak yang sewajarnya. Ingat, peminjam wang tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ah long bukan jalan penyelesaian untuk kita keluar dari perangkap muflis kerana perbuatan itu hanya akan mengundang musibah yang lebih serius di kemudian hari.

Oleh itu, di samping menikmati kemudahan moratorium, peminjam yang sedang berhadapan dengan masalah kesukaran untuk membayar balik pinjaman disarankan supaya segera memulakan perbincangan dengan AKPK atau institusi kewangan. Tujuannya ialah untuk merangka pelan pembayaran balik yang lebih fleksibel untuk jangka masa panjang mengambil kira senario ketidaktentuan ekonomi dan sektor pekerjaan pasca pandemik kelak.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 6:15 AM