BRANDON Beal tidak sangka Twerk  It Like Miley jadi viral.
BRANDON Beal tidak sangka Twerk It Like Miley jadi viral.
Oleh Georgie Joseph


Lagu Twerk It Like Miley yang menjadi viral cukup digilai ramai. Hakikatnya, pendengar hanya tahu lagu itu tanpa mengenali siapa penyanyinya.

Ternyata, Brandon Beal, 31, tidak pernah terkilan dengan keadaan itu, sebaliknya berasa seronok kerana itu matlamatnya selama ini.

Karier penyanyi kelahiran Amerika Syarikat (AS) ini bermula pada 2004, namun baru kini namanya meledak dan menjadi perhatian peminat seluruh dunia.

Mengambil inspirasi daripada penyanyi Miley Cyrus yang pernah mengejutkan dunia dengan aksi ‘twerk’, Brandon tidak menyangka lagu itu meletup dan meninggalkan impak besar pada kariernya.

“Apabila lagu ini mendapat perhatian luar biasa, saya rasa puas. Menerusi lagu ini juga peminat mula kenal siapa Brandon Beal.

“Setakat ini Miley tidak beri apa-apa reaksi, namun saya tahu dia menyukainya. Perkara ini dimaklumkan pihak MTV yang nampak Twerk It Like Miley ada dalam senarai lagu kegemarannya,” katanya yang ditemui di ibu kota, Selasa lalu.

Berkongsi mengenai kembara seninya, Brandon mengakui masih tercari-cari hala tuju muziknya. Biarpun lebih sedekad berkarya untuk artis lain, dia belum temui muzik yang secocok dengan jiwanya.

Disebabkan itu, dia sanggup berkelana ke Copenhagen, Denmark. Ini kerana dia tidak mahu terperangkap dengan stigma muzik hip-hop mahupun pop yang cukup popular di negara kelahirannya.

“Saya suka menjelajah ke tempat lain dan mengenali muzik setempat. Dari situ saya akan dapat inspirasi dan ia membantu membentuk hala tuju muzik saya.

“Saya nekad meninggalkan AS semata-mata mahu muzik saya lebih berkembang. Lagipun, saya tidak mahu mempelbagaikan genre,” katanya.

Kedatangan penyanyi yang bernaung di bawah label Universal Music ini ke Kuala Lumpur beberapa hari lalu bukan sekadar memenuhi rangka promosi, tetapi ada agenda lebih istimewa iaitu merakamkan lagu bersama kumpulan De Fam.

Mengulas perkara itu, Brando mengakui teruja apabila digandingkan dengan kumpulan yang popular dengan lagu Supergirls itu.

“Sangat menyenangkan apabila dapat berkolaborasi dengan penyanyi tempatan. Saya suka bekerjasama dengan penyanyi tempatan sesebuah negara yang saya kunjungi.

“Saya suka dengan lagu De Fam kerana ia bertepatan dengan halwa telinga pencinta muzik masa kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:05 AM