MOHD Shukrie (dua dari kanan) bersama Louis (dua dari kiri) melancarkan Koleksi Bar Emas.
MOHD Shukrie (dua dari kanan) bersama Louis (dua dari kiri) melancarkan Koleksi Bar Emas.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) terus melakar sejarah dalam perniagaan emas dan perak apabila menjalinkan kerjasama dengan Pos Ar Rahnu Sdn Bhd (Pos ArRahnu), anak syarikat Pos Malaysia Bhd secara rasmi, semalam.

Majlis menandatangani dokumen perjanjian disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Public Gold, Datuk Louis Ng bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh.

Louis berkata, kerjasama itu membuktikan perkembangan syarikat Public Gold dalam perniagaan emas selain permintaan memberangsangkan terhadap produk logam pelaburan berharga (IPM).

Beliau berkata, lebih membanggakan produk Public Gold dikecualikan dari Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) selain mendapat pengiktirafan dari London Bullion Market Association (LMBA).

“Sebagai langkah produktif, Public Gold memperkenalkan koleksi bar emas edisi khas Pos Malaysia seberat 1 gram dengan harga RM200 seunit dan pada peringkat permulaan 20,000 unit koleksi ini diperkenalkan.

“Produk edisi khas ini boleh dimiliki sekarang di semua rangkaian Pos Malaysia termasuk 65 cawangan Pos ArRahnu dan semua 18 cawangan Public Gold di seluruh negara,” katanya.

Mohd Shukrie berkata, Pos ArRahnu menyasarkan pengeluaran pembiayaan sehingga RM1 bilion kepada pelanggan menjelang 2018 berbanding lebih RM700 juta pembiayaan diberikan kepada 100,000 pelanggan sejak tiga tahun lalu.

Beliau berkata, kewujudan 65 cawangan ArRahnu di seluruh negara akan lebih memudahkan urusan pelanggan termasuk yang ingin menyimpan emas, membeli emas terpakai dan menjual produk emas untuk tujuan pelaburan.

“Sebagai ejen korporat tunggal Public Gold, Pos ArRahnu akan terus mengembangkan sayapnya dari perniagaan asal berkonsepkan pajak gadai patuh syariah kepada pusat penyelesaian emas sehenti dengan menjual produk emas pelaburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2015 @ 6:47 AM