Georgetown: Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) menyasarkan unjuran peningkatan jualan sebanyak 50 peratus sepanjang tahun ini menerusi produk Public Gold khususnya bar emas yang mendapat pengecualian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Louis Ng berkata, sebagai satu-satunya syarikat pengeluar emas di negara ini yang dikecualikan pembayaran enam peratus cukai GST, pelbagai usaha dilakukan bagi menarik lebih ramai usahawan emas yang baru.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan cukai GST 1 April lalu, jumlah keseluruhan pasaran Public Gold mencatatkan penurunan kira-kira 50 peratus dan tidak dinafikan kesannya namun ia tidak mematahkan usaha untuk menarik lebih ramai pembeli pada masa depan.

“Bagaimanapun, dengan permintaan yang semakin tinggi, Public Gold terus memacu kejayaan apabila berjaya meningkatkan sistem data dalam urusniaga pembelian dan penjualan emas serta perak selain menjadi syarikat pertama di dunia memperkenalkan produk logam berharga (IPM).

“Setiap pembelian dan penjualan emas Public Gold dapat mengurangkan risiko kejatuhan ringgit dan pelanggan tidak akan mengalami kerugian tinggi sebaliknya memperolehi keuntungan daripada kejatuhan ringgit,” katanya.

Katanya, orang ramai tidak perlu keliru kerana Public Gold adalah satu-satunya syarikat penjualan dan pengedaran emas di Malaysia yang mendapat pengecualian cukai GST.

“Sejak menerokai pasaran emas lapan tahun lalu, Public Gold terus berkembang dan kini mempunyai lebih 60,000 pengedar dan pelanggan selain memiliki 18 cawangan di seluruh negara.

“Kejayaan akan didorong oleh perniagaan atas talian yang bakal dilaksanakan pada masa depan melalui pasaran produk Public Gold selepas adanya pakar peniagaan emas untuk meningkatkan lagi taraf dan perkembangan perniagaan yang semakin maju,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 7:54 AM