HOUWEI bukan tandingan Chong Wei.
HOUWEI bukan tandingan Chong Wei.

Oleh Ferzalfie Fauzi dan Mohd Firdaus Hashim

[email protected]

Kuala Lumpur: Kepenatan tidak menghalang Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan kali kelima tahun ini apabila muncul juara Siri Super Terbuka Hong Kong selepas menumpaskan Tian Houwei dari China pada aksi final semalam.

Chong Wei yang muncul juara Siri Super Perdana Terbuka China dua minggu lalu, tidak berdepan masalah untuk mengalahkan pemain ranking ke-10 dunia itu 21-16, 21-15 dalam tempoh 49 minit.

Lebih menarik Chong Wei berjaya mengumpul hadiah wang tunai selama dua minggu sebanyak AS$78,750 (RM337,000), semalam dia berjaya meraih AS$26,250 dan di Terbuka China pula AS$52,500.

Kemenangan itu juga berjaya membantunya membalas dendam ke atas Houwei yang pernah menumpaskannya pada pertemuan tunggal mereka sebelum ini pada separuh akhir Siri Super Terbuka Australia 2013.

Selain Terbuka China, pemain berusia 33 tahun itu berjaya muncul juara di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Amerika Syarikat, GP Terbuka Kanada dan Super Siri Terbuka Perancis.

Selepas tamat perlawanan semalam, pemain ranking keenam dunia itu memberitahu dia berasa amat penat terutama terpaksa berdepan jagoan China, Lin Dan (separuh akhir) dan Chen Long (akhir) di Terbuka China.

“Sekarang saya berasa terlalu penat. Saya juga ingin berterima kasih kepada peminat Malaysia yang datang memberi sokongan kepada saya di Hong Kong Coliseum dan semua peminat di seluruh dunia,” katanya yang sebelum ini sekali lagi perlu berdepan Chen Long di suku akhir kejohanan itu namun berjaya mengalahkan pemain nombor satu dunia itu 13-21, 21-19, 21-15.

Bagaimanapun, Chong Wei berkata, dia masih belum mencapai tahap 100 peratus terbaik dan baru 85 peratus kerana masih belum mampu fokus dan memberi tumpuan sepenuhnya.

“Saya amat penat selepas beraksi secara berturut-turut dan sekarang saya hanya fokus untuk tidak mengalami sebarang kecederaan serta mara ke Sukan Olimpik Rio 2016. Saya tahu semua mahu menang emas, tapi saya tidak mahu memikirkannya kerana akan lebih memberi tekanan buat saya.

“Saya membuat keputusan untuk tidak menyertai GP Terbuka Macau (minggu ini) kerana penat. Badan saya perlu rehat dan saya mahu pulang ke tanah air, selepas itu barulah membuat perancangan untuk kejohanan lain,” katanya.

Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian Chong Wei dan apa pun yang terjadi menyanjung pemain itu sebagai legenda negara.

“Pada usia 33 tahun dia mampu menumpaskan pemain lebih muda, ia menunjukkan komitmen dan disiplin yang ada pada dirinya. Selepas isu doping sebelum ini semua rakyat berada di belakangnya dan ini adalah caranya untuk membalas semula jasanya kepada semua,” kata Norza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 9:43 AM