ANTARA pemimpin negara yang mengayakan pakaian songket hasil rekaan Datuk Radzuan Radziwill. FOTO Agensi
ANTARA pemimpin negara yang mengayakan pakaian songket hasil rekaan Datuk Radzuan Radziwill. FOTO Agensi

Kuala Lumpur: Walaupun hanya mempunyai masa tiga bulan untuk mencipta pakaian istimewa untuk para pemimpin dunia yang menghadiri majlis Makan Malam Gala pada Sabtu malam bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, namun pereka fesyen terkenal Datuk Radzuan Radziwill berjaya menghasilkan baju songket tenunan tangan yang amat unik.

Walaupun tugas itu mungkin berat bagi kebanyakan orang, namun pengalaman selama 20 tahun dalam bidang rekaan fesyen memudahkan beliau mengilhamkan satu reka bentuk luar biasa dengan pelbagai warna, yang ternyata begitu 'serasi' dengan semua pemimpin, termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, Presiden Amerika Barack Obama dan Presiden Korea Selatan Park Geun-hye.

Radzuan berkata, walaupun diberi masa hanya tiga bulan untuk menyediakan baju songket dengan reka bentuk ala ‘jaket’ itu, yang beliau lazimnya memerlukan masa enam bulan untuk berbuat demikian, namun beliau tidak mengorbankan kualiti setiap baju yang dihasilkan, termasuk selendang untuk pasangan pemimpin masing-masing.

Menurutnya, kerja paling mencabar untuk menyediakan reka bentuk berkenaan ialah memastikan ia “selesa dipakai oleh para pemimpin” memandangkan sesetengah maklumat tentang saiz tidak lengkap, manakala sebahagian lagi hanya berpandukan kepada saiz baju, yang berbeza dengan saiz untuk jaket.

“Saya dan pasukan saya perlu bersiap sedia 24 jam sejak beberapa hari lepas untuk membuat pindaan yang diperlukan oleh seseorang pemimpin, termasuk bagi pemimpin yang tiba hanya beberapa jam sebelum bermulanya majlis makan malam gala itu,” katanya sambil menjelaskan bahawa jaket berkenaan, yang direka bentuknya berdasarkan unsur alam semula jadi, dihasilkan dalam lima warna: biru, merah, oren, hijau dan hitam.

Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang menjadi hos majlis gilang-gemilang itu bersama-sama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, memakai jaket biru, manakala 'ros' dalam kalangan pemimpin berkenaan, Presiden Park, kelihatan anggun dengan jaket berwarna hijau.

“Saya sungguh gembira apabila mendapat tahu bahawa jaket serta selendang ini akan diberi sebagai cenderamata kepada para pemimpin dan pasangan mereka. Saya dimaklumkan bahawa kebanyakan pasangan pemimpin sukakan ‘songket’ dan telah membeli banyak ‘songket’ ketika berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak ini,” katanya.

Radzuan berkata, songket memang tidak asing lagi bagi rakyat ASEAN kerana kebanyakan daripada 10 negara anggota pertubuhan itu mempunyai songket tersendiri seperti Songket Vietnam dan Songket Thailand.

“Oleh itu, sebagai warga ASEAN, kita perlu sentiasa menghargai songket dan saya percaya songket boleh menjadi satu daripada unsur utama untuk menyatukan warga ASEAN,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memilih beliau untuk menghasilkan pakaian khas itu.

Songket adalah fabrik tenunan tangan menggunakan sutera atau kapas dan dihiasi dengan corak halus dan berseni daripada benang emas atau perak. Benang berwarna metalik itu akan kelihatan menyerlah dan berkilau apabila dipadankan dengan fakrik latarnya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 2:21 PM