ARUL (tengah) gagal bawa Skuad Projek 2016 ke India.
ARUL (tengah) gagal bawa Skuad Projek 2016 ke India.

Kuala Lumpur: Tidak akan ada sebarang tindakan dan keputusan dalam masa terdekat mengenai kedudukan pengendali Skuad Projek 2016, Arul Selvaraj selepas gagal mengesahkan tiket ke Piala Dunia Remaja tahun depan apabila tumpas kepada Korea Selatan pada suku akhir Piala Remaja Asia kelmarin.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Seri Subahan Kamal berkata, untuk bertindak adil, selagi kejohanan belum berakhir mereka tidak akan membuat sebarang keputusan mengenai kedudukan Arul.

“Bagaimanapun, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Skuad Kebangsaan akan duduk bersama melakukan ‘post-mortem’ selepas menerima laporan daripada jurulatih itu serta pihak pengurusan skuad berkenaan,” katanya.

Skuad Projek 2016 gagal memperoleh tiket ke Piala Dunia Remaja tahun depan yang akan berlangsung di New Delhi selepas tewas 1-4 kepada Korea Selatan menerusi penentuan penalti apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 masa sebenar perlawanan.

Jelas Subahan, mereka akan cuba mencari jawapan apa sebenarnya yang berlaku dan ‘post-morten’ itu bukan hanya membabitkan jurulatih, tapi juga pemain bagi mencari jawapan kenapa memberikan kemenangan mudah kepada pasukan lawan.

“Kalah dengan jaringan saat akhir memang berlaku tapi tidak boleh sentiasa terjadi. Ia sentiasa berlaku terhadap pasukan kita, perkara ini sangat serius kerana apa lagi yang tidak betul. Saya sebagai presiden memang kecewa. Bagi melihat bentuk tindakan apa yang perlu dilakukan, kita biarkan kejohanan ini selesai dulu.

“Saya memberitahu Pengarah Teknikal Terry Walsh untuk membantu bagi menyelesaikan apa yang berlaku. Selepas Jawatankuasa Kejurulatihan dan Pasukan Kebangsaan menjalankan bedah siasat perkara ini akan dibawa pula dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MHC yang dijangka berlangsung minggu kedua bulan depan,” katanya.

Dalam pada itu, Subahan juga mengulas mengenai pengguguran Faizal Saari dari skuad kebangsaan selepas gagal melaporkan diri untuk menyertai kem latihan selepas berkahwin pada pertengahan Oktober lalu.

“Seperti saya katakan sebelum ini, Faizal atau mana-mana pemain tidak mempunyai status ‘superstar’ kerana kami lebih mempercayai kerja sepasukan. Jika anda mahu beraksi cemerlang perkara utama ialah hormat jurulatih, rakan sepasukan dan MHC.

“Jawatankuasa Disiplin akan mengambil tindakan. Mereka sebuah badan bebas. Mudah saja, jika seseorang pemain enggan mengambil serius dan ikut segala peraturan mereka tidak akan berada dalam pasukan kebangsaan,” katanya.

Faizal akan dipanggil Jawatankuasa Disiplin selepas berakhir Piala Remaja Asia dan jika tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan dia boleh digantung daripada semua perlawanan dalam dan luar negara selama dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:30 AM