Nueng (kanan) ketika dibawa polis ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.
Nueng (kanan) ketika dibawa polis ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut.
Agensi

Bangkok: Seorang lelaki Thailand secara tidak sengaja menembak mati isterinya, ketika sedang menyasarkan adik iparnya.

Kejadian berlaku di wilayah Isaan, Nakhon Ratchasima semalam, yang menurut portal Thaiger, polis daripada Balai Polis Pakchong segera ke rumah yang terletak di kawasan Soi Ban Song Thai itu sebaik menerima maklumat.

Polis menemukan mayat wanita dikenali Nongnuch Permpiphat, 41, di luar rumah, dengan mangsa mempunyai kesan tembakan di bahagian belakang.

Adik perempuan Nongnuch, Nittaya Permpiphat, 39, pula ditemui di dalam rumah dengan dua kesan tembakan di kaki kanan dan perutnya. Dia kemudian dibawa ke Hospital Pakchong Nana.

Ibu dua beradik itu, Nan Permpiphat memberitahu polis bahawa serangan dilakukan suami Nongnuch, Atirat Nueng Homjantuek, 28, yang kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut wanita itu, Nueng pernah berselisih faham dengan Nittaya dan suaminya, Win dan ketika kejadian, lelaki itu dikatakan mabuk sebelum tiba di kediaman berkenaan.

Apabila tiba, Nueng melepaskan satu das tembakan ke udara, mendorong Nittaya, Win dan Nongnuch keluar dari rumah untuk melihat.

Nueng kemudian mengacukan pistol ke arah Nittaya dan melepaskan tembakan, namun campur tangan Nongnuch dalam melindungi adiknya menyebabkan dia ditembak di belakang.

Walaupun sudah menembak isterinya, Nueng tidak berhenti, sebaliknya terus mengejar adik iparnya ketika cuba bersembunyi di dalam rumah dan menembaknya dua kali.

Nueng dibawa ke balai polis untuk menyerah diri oleh ahli keluarganya dan dijangka bakal berdepan dua pertuduhan iaitu Seksyen 288 Undang-Undang Jenayah kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara dari 15 hingga 20 tahun jika disabitkan.

Kedua, Seksyen 295 akta sama kerana menyerang orang lain secara fizikal yang memperuntukkan hukumanpenjara sehingga dua tahun, denda sehingga 40,000 baht (kira-kira RM5,207) atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 12:31 PM