KANAK-KANAK teruja menerima buku cerita baru.
KANAK-KANAK teruja menerima buku cerita baru.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Jelas tergambar kegembiraan pada wajah kanak-kanak di Pusat Tuisyen Kebajikan di Pangsapuri Enggang, Puchong, Selangor apabila menerima sumbangan buku cerita daripada Yayasan Kemanusiaan Kassim Chin (KCHF) yang membolehkan mereka meluaskan pembacaan. Ini dapat dilihat apabila mereka tidak sabar membuka halaman buku yang diterima dan terus melihat gambar yang terdapat di dalamnya.

Kegembiraan yang terpancar pada wajah kanak-kanak berkenaan jelas menunjukkan sebelum ini mereka tidak berpeluang memiliki buku sedemikian yang tentunya menambah minat untuk terus membaca.

Selain pemberian buku, Magnolia Milk Mooves Malaysia oleh F&N Dairies, turut mengadakan kempen meningkatkan kesedaran terhadap khasiat kebaikan dan pengambilan susu serta menerapkan usaha amal apabila orang ramai dijemput untuk menderma buku kepada mereka yang memerlukan.

Hasilnya sejumlah 400 buku cerita bergambar dapat dikumpulkan sumbangan orang ramai yang membeli susu Magnolia ketika pertunjukan bergerak Magnolia Milk Mooves Malaysia.

Buku berunsur pendidikan ini dipilih dengan teliti kerana akan digunakan oleh empat pusat tuisyen KCHF bagi meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan mereka.

Menurut Ketua Susu Sedia Diminum, F&N Dairies (Malaysia) Sdn Bhd Van Toh Peng, pihaknya komited membantu dan menjaga bagi meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak secara keseluruhan. Cara terbaik melakukannya adalah dengan memastikan semua kanak-kanak mendapat ruang saksama untuk membina masa depan lebih cerah dengan memberi mereka peluang membaca dan belajar supaya mencapai potensi diri sepenuhnya.

“Pembabitan pelanggan dalam kempen derma buku ini membolehkan kanak-kanak di pusat tuisyen KCHF mendapat peluang pembelajaran menerusi pembacaan. Ini penting untuk memutuskan kitaran kemiskinan dan menjamin masa depan mereka demi kesejahteraan masyarakat,” katanya pada majlis penyerahan buku itu.

Selain memilih buku untuk didermakan, penyumbang juga menulis kata-kata motivasi dan semangat kepada kanak-kanak di KCHF. Antaranya ‘Jaga kesihatan’, ‘Pengetahuan adalah kekayaan’ dan ‘Anda boleh’ bagi memberikan kata-kata semangat dan tenaga positif kepada mereka.

“Kata-kata semangat ini walaupun ringkas, tetapi memberikan motivasi serta mengingatkan kanak-kanak bahawa mereka tidak dibiarkan terpinggir. Kami berharap mereka dapat melalui zaman kanak-kanak dengan baik dan kehidupan positif apabila dewasa,” tambah Van.

Untuk program ini F&N Dairies bekerjasama dengan KCHF menerusi program E.L.I.T.E ( Memperkasakan Hidup Menerusi Pendidikan) sejak 2011 bertujuan membantu kanak-kanak kurang bernasib baik meningkatkan tahap pembelajaran ke peringkat seterusnya sambil membentuk kanak-kanak menjadi transformasi keluarga mereka. Setakat ini, lebih 300 kanak-kanak mendapat manfaat daripada program ini.

Pengarah Eksekutif Yayasan Kemanusiaan Kassim Chin, Datin Miliee Kassim berharap buku cerita bergambar yang diberikan itu akan meluaskan pandangan, memberi pengetahuan baru dan meningkatkan daya imaginasi kanak-kanak, sambil merangsang kepintaran dan memupuk minat membaca.

“Guru akan menggunakan buku baru ini dalam kelas dan pelajar memperlihatkan kemahiran bercerita pada Majlis Penyampaian Ijazah F&N E.L.I.T.E. pada tahun ini untuk menunjukkan hasil pembelajaran mereka,” kata Miliee.

Antara kanak-kanak yang mendaftar di pusat tuisyen ini adalah pasangan kembar Nurul Aryana dan Nurul Aryani, 8 tahun. Sebaik menerima buku cerita mereka terus membaca dan kagum dan melihat gambar warna-warni di dalamnya.

“Kami suka buku cerita ini kerana cerita di dalamnya sangat menarik dengan gambar kartun comel. Ibu berjanji untuk membacakannya apabila kami bawa buku ini pulang ke rumah,” kata pasangan kembar ini dengan gembira sambil menunjukkan buku kesukaan mereka bertajuk Biring Sikunani.

Salah satu buku pendidikan bertajuk Sekiranya Aku Jurutera membantu Amira Fatiha, 12 tahun, lebih memahami bidang kerjaya impiannya. Amira tidak sabar untuk membaca dan mendapatkan maklumat mengenainya sebelum kelas bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 5:00 AM