Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


Dalam perasaan gementar dan teruja yang bercampur baur, tujuh kanak-kanak prasekolah di pusat pendidikan amal Pangsapuri Enggang mencuba sendiri keajaiban teknologi maklumat melalui komputer yang diperbaharui.

Walaupun baru pertama kali diberikan peluang berkenaan, tetapi kanak-kanak itu tidak janggal mengendalikan tetikus dan papan kekunci dalam menerokai pelbagai kawalan dengan komputer mereka.

Bagi kanak-kanak prasekolah dari masyarakat yang kurang bernasib baik di Puchong ini, inisiatif e-pembelajaran yang dilakukan Program ELITE F&N Dairies (Memperkasa Kehidupan Melalui Pendidikan) dengan kerjasama Pertubuhan Kemanusiaan Kassim Chin (KCHF) memberi mereka peluang yang berharga untuk mendapatkan asas pembelajaran.

Program ELITE F&N Dairies ditubuhkan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dengan me­ngangkat pembelajaran ke peringkat seterusnya dengan memperkasa sambil membentuk kanak-kanak secara efektif untuk menjadi ejen transformasi masa depan bagi keluarga mereka.

Melalui kerjasama ini, mereka memberikan sumbangan kewangan penyelenggaraan pusat tuisyen Pangsapuri Enggang KCHF selain bantuan makanan berbentuk produk tenusu F&N. Sehingga kini lebih 300 kanak-kanak sudah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Mana tidaknya, pusat e-Pembelajaran ELITE F&N dilengkapi empat komputer diperbaharui dan dimuatkan dengan perisian pendidikan yang mudah, mesra pengguna, menyediakan kemahiran asas komputer kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik di situ.

"Inisiatif ini akan membantu kanak-kanak di sini mendapat akses kepada komputer dan sumber pendidikan yang banyak," kata Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kemanusiaan Kassim Chin Miliee Kassim.

Menurut Ketua Bahagian Sumber Manusia F&N Dairies Zenas Kok, celik komputer kini menjadi prasyarat untuk kemajuan pada abad ke-21. Kemahiran menggunakan komputer mendapat permintaan yang tinggi dan mereka mahu bersama-sama berganding bahu memastikan kanak-kanak miskin diberi pendedahan dan kemahiran asas kepada pendidikan.

"Kami percaya bahawa semua kanak-kanak mempunyai potensi untuk berjaya. Pelancaran pusat e-pembelajaran ini akan menangani ketidakseimbangan peluang bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dengan memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan komputer. Kita mahu kanak-kanak ini dapat berhubung dengan dunia dan menyebarkan rasa ingin tahu semulajadi mereka," katanya.

Kemudahan baru komputer ini dilancarkan serentak dengan majlis graduasi F&N ELITE 2014 bagi meraikan tujuh kanak-kanak yang tamat pengajian di tadika yayasan itu.

Pada majlis sama F&N Dairies memperbaharui ikrar tahunan kepada KCHF dengan sumbangan RM60,000 untuk membiayai pusat pendidikan berkenaan.

Menurut graduan kecil, Nagavaitheswary Subramaniam, 6, yang mendapat tempat pertama, dia berasa sangat gembira dan tidak sabar untuk memasuki sekolah rendah.

Ibunya, Janaki Mardan memuji pencapaian akademik Nagavaitheswary yang menyifatkan anaknya rajin belajar selain sentiasa berusaha sebaik mungkin dalam semua perkara.

"Dia benar-benar suka ke sekolah dan sentiasa mengambil inisiatif sendiri untuk melakukan kerja rumahnya. Kadang-kadang dia enggan tidur kerana dia mahu menyiapkan buku latihan tambahan.

"Saya dan suami terlepas peluang untuk mendapat­kan pendidikan asas. Kami sangat terharu dengan sumbangan besar F&N Dairies dan KCHF untuk kanak-kanak di sini. Tidak seperti kami, anak kami yakin berbahasa Inggeris dan Melayu," katanya.

Janaki juga gembira dengan pembukaan pusat e-pembelajaran itu yang membolehkan kanak-kanak di situ melihat dunia secara berbeza.

"Kebanyakan kami di sini tidak memiliki komputer di rumah. Jadi tidak mungkin anak-anak kami dapat belajar mengenai komputer dan program pembelajaran yang menyeronokkan," katanya.

Kumar Odayappan, bapa kepada Yashini Kumar, 6, bangga melihat pencapaian anaknya terutama dalam penguasaan bahasa Inggeris kerana dia dan isteri tidak boleh berkomukasi dalam bahasa itu.

"Tiada impak yang lebih besar kepada kehidupan kanak-kanak berbanding pendidikan yang mereka terima. Semua kanak-kanak berhak mendapat pengalaman akademik yang cemerlang, tanpa mengira status keluarga atau tempat tinggal. Kami berasa bangga melihat tahap kemajuan kanak-kanak ini, bukan saja dalam kemahiran bahasa, malah tahap keyakinan dan aspirasi masa depan mereka," kata Zenas.

Pusat tuisyen Pangsapuri Enggang KCHF ini adalah yang pertama daripada lima pusat KCHF yang akan diwujudkan dan ketika ini mempunyai 50 pelajar daripada semua peringkat umur (prasekolah hingga sekolah menengah). Tenaga pengajar pula terdiri daripada penduduk sendiri dan ramai yang menghantar anak ke pusat berkenaan.

Pusat itu juga memberi bantuan makanan dan kelas jahitan serta perkhemahan tahunan di Semenyih untuk kanak-kanak dan ibu bapa mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM