AHLI  Puteri UMNO mengukur saiz badan pelajar ketika Majlis Program Ziarah Kasih Happy 2 School anjuran UMNO Bahagian Kuantan di SMK Tanah Putih.
AHLI Puteri UMNO mengukur saiz badan pelajar ketika Majlis Program Ziarah Kasih Happy 2 School anjuran UMNO Bahagian Kuantan di SMK Tanah Putih.
Shahrinnahar Latib

Kuantan: Seramai 68,000 murid kurang berkemampuan di 68 Parlimen di seluruh negara mendapat manfaat menerusi program Happy 2 School anjuran Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO.

Ketua Pegawai Eksekutif Biro Keahlian dan Daftar Pemilih UMNO Datuk Tajul Razi Abdul Aziz berkata, pihaknya menyasarkan 78 kawasan Parlimen membabitkan 79,000 murid untuk program berkenaan.

“Setiap murid menerima pakaian sekolah, kasut dan beg bernilai RM180. Pada 16 Januari ini, program ini berakhir di Tawau dan Kalabakan di Sabah,” katanya pada program Happy 2 School Parlimen Kuantan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Putih di sini, kelmarin.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Abdul Hamid Mohd Nazahar.

Beliau berkata, program itu antara usaha parti membantu rakyat tanpa mengira kaum terutama mereka yang memerlukan sumbangan berkenaan.

“Penerima tanpa mengira kaum dan parti. Kami lihat sumbangan sebegini memberikan keceriaan dan semangat kepada murid menempuh sesi persekolahan baru,” katanya.

Katanya, program bantuan seperti Happy 2 School dilaksanakan bukan bermusim, sebaliknya diadakan setiap masa bagi membantu murid dan pelajar memerlukan.

“Secara kebetulan tahun ini musim pilihan raya tetapi program yang kami adakan untuk membantu rakyat berterusan dan bukan secara bermusim seperti didakwa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 5:22 AM