Penerbit program popular Running Man, Im Hyung Taek menyifatkan episod 100 VS 100 Race seperti berada di majlis kahwin apabila bertemu dengan kawan lama.

Katanya, pada program yang disiarkan dua minggu berturut-turut itu, Jo In Sung, Song Joong Ki dan Im Joo Hwan yang muncul sebelum ini, dipanggil untuk menjayakan secara spontan dan masing-masing ada cerita tersendiri.

“Saya rasa gembira sebab mereka sanggup meluang­kan masa bersama untuk muncul dalam episod kali ini,” katanya.

Song Joong Ki yang juga anggota asal Running Man gembira dapat bertemu de­ngan semua anggota lain dan kru selepas sekian lama. Dia menyifatkan seperti berada di rumah sendiri sepanjang menjayakan program itu.

Kemunculan Jo In Sung sebagai tetamu undangan sangat dinanti-nantikan peminat Running Man dan Im akui sangat berbesar hati jika dia dapat muncul.

Katanya, dia tidak dapat memaksa hal itu berlaku tetapi sangat berharap dia dapat muncul.

“Dia tetamu yang paling dinanti-nantikan dalam senarai saya!” katanya.

Mengenai Song Joong Ki, Im berkata, hubungan selebriti itu dengan anggota Running Man lain sentiasa baik.

“Dia mahu muncul dalam program dan saya juga ingin dia kembali apabila kerjanya di set drama habis. Saya impikan ketiga-tiga mereka dapat muncul bersama,” katanya.

Untuk episod People Who Find Laughter yang disiarkan hari ini, Running Man menghimpunkan pelawak dan Cultwo sebagai tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2015 @ 5:06 AM