Susunan Georgie Joseph


Anyeonghaseyo!!! Bertahun lamanya program Running Man setia menghiburkan pengikutnya. Setiap episod ada saja insiden yang buat penonton tidak kering gusi.

Diterajui Lee Kwang Soo, Yoo Jae-suk, Gary, Haha, Ji Suk-jin, Kim Jong-kook dan Song Ji-hyo, populariti program ini sukar digugat.

Selepas meraih kejayaan luar biasa di Korea Selatan, program berkenaan diterbitkan pula untuk versi China dan turut mendapat sambutang hangat.

Bagaimanapun, ramai penonton mula risau apabila penerbit Im Hyung Taek bakal meninggalkan Running Man untuk mengemudi program sama di China.

Namun ada berpendapat dengan adanya penerbit baru, maka pengisian Running Man Korea akan lebih segar dan menarik. Untuk mengetahui apa nasib Running Man Korea, sama-samalah kita nantikan sentuhan pertama penerbit barunya.

Ulzzang! minggu ini dimulakan dengan perkembangan terbaru kumpulan Red Velvet yang dikecam peminat apabila bersikap biadab dalam satu majlis perkahwinan.

Tindakan anggota kumpulan itu, Seulgi dan Irene memakai baju rona putih seakan-akan pengantin perempuan mengejutkan tetamu majlis itu.

Segala perhatian yang sepatutnya diberikan kepada pasangan mempelai beralih kepada mereka dan ia membuatkan pengantin perempuan terasa hati.

“Jika saya berada di tempat pengantin perempuan itu, pasti saya sedih dan kecewa. Sepatutnya pengantin perempuan jadi perhatian, tetapi lain pula jadinya apabila Seulgi dan Irene hadir dengan memakai baju berwarna putih. Mereka tidak menghormati majlis dan sangat biadab,” kata sumber.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 10:46 AM