KIA Sorento gaya futuristik.
KIA Sorento gaya futuristik.
Oleh Erywan Norshal


Kenderaan jenama Korea menerusi Kia Motors Corporation terus melonjak naik selepas tersenarai di kedudukan ke-74 dalam 100 Jenama Terbaik Global 2014 dengan nilai jenama syarikat mencecah RM17.82 bilion.

Kenaikan nilai jenama syarikat itu melebihi kadar pertumbuhan purata dalam tempoh sama berbanding 11 pengeluar kereta lain dalam senarai pada tahun ini.

Ia adalah impak perubahan syarikat itu membabitkan revolusi reka bentuk sebagai platform utama selepas melantik Peter Schreyer menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Reka Bentuk Kia Motors Corporation pada 2007.

Kelebihan itu turut memberi tempias kepada Naza Kia Malaysia selaku pengedar jenama berkenaan di Malaysia.

Ketua Pegawai Operasi Naza Kia Malaysia, Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata, usaha dilakukan itu memberi kelebihan kepada Kia untuk bersaing dengan 14 jenama syarikat automotif lain di negara ini.

"Ini boleh dibuktikan apabila kami mencapai 68 peratus dalam sasaran jualan 2014 dalam tempoh suku keempat tahun ini.

"Kami yakin sasaran ini akan terus meningkat sebelum akhir tahun ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, baru-baru ini.

Kia kali pertama menyertai 100 Jenama Terbaik Global pada 2012 dengan berada di kedudukan ke 87 dengan nilai jenama RM13.53 bilion dan meningkat kepada tangga ke 83 pada 2013 susulan peningkatan 15 peratus nilai jualan kepada RM15.51 bilion.

Tahun lalu, nilai jenama Kia meningkat 15 peratus kepada RM17.82 bilion, sekali gus melonjakkan kedudukannya sebanyak enam anak tangga kepada nombor 74.

Peningkatan jenama Kia disebabkan beberapa faktor, termasuk aktiviti pemasaran berprofil tinggi seperti penajaan dalam 2014 FIFA World Cup Brazil dan kejohanan tenis Australian Open selain pengenalan beberapa model baru sepanjang 2013 dan 2014.

Kia turut berada di kedudukan ke-35 daripada 37 dalam senarai 50 Jenama Hijau Terbaik Global 2014 oleh Interbrand yang dikeluarkan pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 November 2014 @ 5:00 AM