Isu vape kini mendapat perhatian banyak pihak, termasuk NGO dan ahli politik. - Foto NSTP (Fail)
Isu vape kini mendapat perhatian banyak pihak, termasuk NGO dan ahli politik. - Foto NSTP (Fail)

Putrajaya: Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau tidak seharusnya dicap sebagai rasis semata-mata menyuarakan kepentingan Melayu dan Bumiputera.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu menegaskan beliau akan terus membela nasib orang Melayu dan Bumiputera tanpa menindas kepentingan kaum lain.

"Mungkin saya dicop rasis tetapi prinsip saya senang Kita bela kaum kita dan jangan tindas kaum lain. Selagi itu dilakukan, bagi saya tidak ada salah dengan apa yang saya lakukan.

"Jika pemimpin Cina mahu bercakap mengenai kaum itu, silakan, tiada masalah tetapi bila saya sebut mengenai Melayu jangan anggap saya rasis," katanya mengulas kenyataan anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Lua Choon Hann semalam, yang menuduhnya menggunakan isu rokok elektronik atau vape sebagai isu perkauman.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan majlis konvokesyen Kolej Universiti Agrosains Malaysia kali ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata sebagai rakan komponen Barisan Nasional, MCA sepatutnya memahami tanggungjawab beliau sebagai pemimpin UMNO dalam membantu kaum Melayu kerana begitu juga dilakukan oleh parti komponen lain untuk kaum masing-masing.

Katanya UMNO tiada masalah jika MCA cuba berbuat sesuatu untuk kaum Cina malah adakalanya sedia bekerjasama untuk tujuan itu.

Ismail Sabri menggesa Lua berhenti melabelkan dirinya sebagai rasis sebaliknya fokus kepada usaha menarik lebih ramai pengundi Cina menyokong MCA dan BN.

Beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat segera bertemu dan berbincang dengan peniaga vape bagi mencari penyelesaian terbaik isu berkenaan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 8:18 PM