ISMAIL Sabri (empat dari kanan) menerima cenderahati berupa lukisan daripada Ismail.
ISMAIL Sabri (empat dari kanan) menerima cenderahati berupa lukisan daripada Ismail.

Kuala Pilah: Rakyat perlu berfikiran terbuka dalam usaha kerajaan menubuhkan ruang perniagaan produk komputer dan alat telekomunikasi khususnya untuk peniaga Melayu dan Bumiputera atas platfom Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan ini seharusnya tidak dijadikan isu perkauman kerana diwujudkan demi memelihara kepentingan pengguna dan meningkatkan ekonomi Bumiputera.

“Semua pemimpin parti tidak kira apa jua sekalipun ingin melihat bangsanya maju, begitu juga saya. Seperti saya, sudah tentu mahu ingin melihat Melayu dan Bumiputera maju kerana saya dipilih rakyat.

“Sudah pasti saya membawa suara orang Melayu dan Bumiputera...jangan ada sesiapa cuba menyekat niat murni ini.

“Saya berpegang atas prinsip membela nasib rakyat tetapi tidak pula berniat menindas kaum lain,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Pilah di Dewan Datuk Bahaman, semalam.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim dan Timbalannya, Adnan Abu Hassan.

Menurutnya, rancangan penubuhan pusat jualan ini turut disambut baik semua negeri.

“Sasaran bukan saja di Kuala Lumpur, tetapi seluruh bandar besar di seluruh negara. Baru-baru ini, negeri Selangor turut menyokong penubuhan pusat jualan ini dan mencadangkan Anggerik Mall di Shah Alam sebagai pusat IT dan begitu juga di Kedah,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kekesalan terhadap segelintir ahli UMNO mengkhianati parti seolah-olah tidak memperjuangkan nasib rakyat.

“Suasana politik sekarang bukan seperti dulu. Jika dulu, kita memusuhi pembangkang tetapi sekarang kita lebih memusuhi ahli sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2015 @ 11:21 AM