Georgetown: Seorang lelaki cedera parah di kedua-dua tangan manakala hidungnya hampir putus selepas dipukul dan ditetak sekumpulan lelaki di hadapan kuil di Hong Seng Estate, di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, mangsa berusia 29 tahun yang dalam keadaan mabuk dan sedang menunggang motosikal tiba-tiba didatangi enam lelaki yang memukul dan menetaknya.

“Mereka menetak mangsa menggunakan parang sehingga lelaki itu cedera parah di kedua-dua tangan dan hidung juga terkoyak sehingga hampir putus," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa penduduk yang berada di kawasan itu bertindak meleraikan keadaan sebelum lima daripada enam lelaki terbabit melarikan diri dengan tiga motosikal.

"Seorang daripada mereka tidak sempat melarikan diri dan dipercayai bersembunyi dalam hutan berhampiran. Polis cuba mengesan lelaki itu di situ tetapi gagal," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 5:34 PM