Sumber protein dalam diet vegetarian datangnya daripada tumbuh-tumbuhan seperti kekacang, bijirin, ubi, bijian dan sayuran. Protein tumbuhan adalah protein berkualiti rendah kerana ia tidak mengandungi semua komponen asid amino perlu jika dimakan tanpa kombinasi yang betul.

Namun, apabila sumber protein tumbuhan berkenaan digabungkan dengan betul, ia akan menghasilkan sajian makanan yang mengandungi semua komponen asid amino perlu yang lengkap untuk badan.

Menurut portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan, ada pelbagai jenis diet yang diamalkan sesetengah individu termasuk diet vegetarian.

Diet vegetarian diamalkan oleh individu atas sebab agama, kesihatan, ekonomi, ekologi atau falsafah hidup. Pengamal diet vegetarian boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu :

1. Vegan. Individu yang mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan saja.

2. Lacto-vegetarian. Individu yang mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan, susu dan hasil tenusu.

3. Lacto-ovo-vegetarian. Individu yang mengambil makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan, susu, hasil tenusu dan telur.

Diet lacto-vegetarian dan lacto-ovo-vegetarian adalah sajian yang mempunyai semua komponen asid amino perlu yang lengkap. Ia boleh memberi nutrien yang mencukupi jika kuantiti yang diambil memuaskan.

Bagi pengamal diet dalam kategori vegan, kombinasi kumpulan makanan yang sesuai diperlukan untuk memenuhi keperluan nutrien harian.

Kombinasi pilihan antara dua kumpulan makanan protein akan membekalkan protein yang lengkap dan perlu diambil sekurang-kurangnya sekali pada setiap waktu hidangan.

Diet vegetarian lengkap dengan protein jika sumber protein yang diambil sekurang-kurangnya dua daripada empat kumpulan makanan protein.

Empat kumpulan makanan digunakan untuk mendapatkan sumber asid amino perlu yang lengkap dalam diet seseorang vegetarian adalah seperti berikut:

Kumpulan satu

Bijiran, hasil bijirin serta ubi seperti beras, gandum, jagung, hasil beras (bihun, nasi), hasil gandum (roti, tepung), barli, oat, ubi kentang, keledek, keladi dan ubi kayu.

Kumpulan dua

Susu dan hasil tenusu seperti keju, susu, yogurt, tairu, dadih, paneer (keju India) dan aiskrim bersusu.

Kumpulan tiga

Kekacang seperti kacang tanah, kacang kuda, kacang hijau, kacang pis, kacang dal, kacang merah, kacang soya serta hasilnya seperti tauhu, fucuk dan tempe.

Kumpulan empat

Bijian seperti kuaci biji tembikai, kuaci biji labu, kuaci biji matahari dan bijan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 9:37 AM