Anyeonghaseyo!!! Menegakkan kebenaran cukup penting buat penggiat seni Korea Selatan. Meskipun tindakan itu mengundang pelbagai risiko, mereka tidak gentar asalkan nasib terbela.

Terbaru, teraju program Running Man, Yoo Jae Suk terpaksa menanggung kerugian apabila kalah dalam kes saman terhadap bekas angensinya, Storm ENF. Kes terbabit juga menyebabkan Jae Suk kerugian kira-kira RM2.3 juta (600 juta won).

Selepas meninggalkan Storm ENF dan menyertai FNC Entertainment, Jae Suk menyaman agensi berkenaan bagi mendapatkan semula bayaran tertunggak.

Storm ENF yang dimiliki SKM Investment sepatutnya membayar Jae Suk RM2.3 juta, namun tidak melakukannya kerana masalah kewangan.

Biarpun kalah dalam kes itu, peminat berpihak kepadanya dan meluahkan rasa simpati.

Mengisi perkhabaran panas Ulzzang! minggu ini, kemunculan semula IU boleh diibaratkan indah khabar dari rupa. Tampil dengan album baru, Cheshire, kejayaan mendadak lagu Twenty Three diragui.

Ramai menyifatkan lagu itu meledak dalam tempoh sesingkat dua minggu sebagai tidak masuk akal. Ini kerana nama besar lain seperti BIGBANG dan EXO yang digilai jutaan peminat pun tidak meraih kejayaan sehebat itu.

Pada 31 Oktober lalu, peminat menyedari ada yang tidak kena dengan laman sesawang muzik MelOn. Ramai merasakan laman itu sengaja memanipulasi nama IU apabila muzik video Twenty Three mencatat lebih 1.5 juta tontonan sedangkan video artis popular lain seperti f(x), Taeyeon (Girls’ Generation) dan EXO belum pun mencapai sejuta.

Disebabkan itu, netizen mula meragui ketelusan MelOn, malah mendakwa kemungkinan ia berlaku kerana IU artis kegemaran laman berkenaan. Netizen juga percaya pengundi hantu digunakan demi menaikkan jumlah tontonan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 November 2015 @ 7:56 AM