GIGI susu tetap perlu dijaga demi kesihatan gigi yang berterusan.
GIGI susu tetap perlu dijaga demi kesihatan gigi yang berterusan.
IBU bapa berperanan penting dalam penjagaan gigi anak.
IBU bapa berperanan penting dalam penjagaan gigi anak.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Gigi tidak tersusun cantik, masalah gigi berlubang, gigi berwarna kuning dan sering diejek rakan sebaya, antara masalah berkaitan gigi yang membelenggu ramai kanak-kanak ketika di bangku sekolah.

Masalah gigi itu bukan saja memberi tekanan hebat kepada kanak-kanak malah menyebabkan mereka berasa rendah diri untuk berdepan dengan khalayak atau lebih membimbangkan, mereka tidak mahu ke sekolah atau bergaul dengan rakan.

Hakikatnya, setiap manusia mempunyai dua fasa pertumbuhan gigi iaiu gigi susu dan gigi kekal. Gigi susu berjumlah 20 batang manakala gigi kekal 32 batang. Secara fizikalnya gigi susu berwarna putih, bersaiz lebih kecil, mempunyai lapisan enamel dan dentin yang nipis, tetapi lapisan pulp yang besar.

Manakala gigi kekal pula berwarna sedikit kuning atau krim, bersaiz lebih besar dan mempunyai lapis enamel serta dentin yang tebal, tetapi lapisan pulp lebih kecil.

Semua 20 batang gigi susu kanak-kanak biasanya tumbuh sedikit jarak manakala gigi kekal tumbuh sebelah-menyebelah dan rapat.

Gigi susu keluar dari gusi kanak-kanak seawal usia enam bulan dan menjelang usia mereka dua hingga tiga tahun, semua 20 batang gigi susu akan muncul dari gusi mereka.

Pada usia anak menjelang enam tahun, bermulalah tempoh apabila gigi susu mula patah dan tercabut secara semula jadi dan gigi kekal akan tumbuh menggantikan gigi susu.

Fenomena gigi susu patah dan gigi kekal tumbuh menggantikan gigi susu terus berlaku sehingga mereka berusia 12 hingga 13 tahun.

Fungsi gigi susu

Gigi susu tidak ubah seperti gigi kekal yang anda miliki, apabila ia membantu mengoyak, menggigit, mencengkam serta melumatkan makanan.

Jadi ia berperanan membantu proses penghadaman dan nutrisi pemakanan anak anda.

Namun dari aspek yang lain, gigi susu penting bagi penampilan diri untuk meningkatkan rasa kepercayaan diri anak anda.

Jika tidak percaya, pernahkah anda rasa malu untuk senyum, bercakap dengan kawan-kawan apabila gigi anda rongak serta berbau busuk pada zaman kanak-kanak dulu?

Secara tidak langsung, gigi susu turut membantu aktiviti sosial anak anda seperti kemahiran bercakap dan bergaul dengan kanak-kanak yang lain.

Gigi susu juga sebenarnya membantu mengekalkan ruang dan mengatur susunan gigi susu kekal. Ini kerana di bawah akar setiap gigi susu terdapat gigi kekal.

Sekiranya gigi susu patah sebelum masa, ini menyebabkan gigi yang belakang dari gigi yang luruh tadi bergerak ke hadapan mengisi ruang yang kosong itu.

Akibatnya, ini menyempitkan ruang yang ada dan apabila gigi kekal tumbuh, ia tidak mempunyai ruang yang cukup.

Akhirnya ia akan tumbuh sama ada di belakang atau di hadapan menjadikan gigi berlapis-lapis. Gigi berlapis bukan saja kelihatan tidak cantik, malah menyebabkan plak mudah terkumpul di kawasan yang berlapis.

Ini seterusnya meningkatkan risiko gusi bengkak (gingivitis) dan karies gigi serta masa dan kos rawatan juga lebih tinggi untuk rawatan ortodontik.

Kesan memandang remeh kesihatan gigi susu:

- Karies gigi

- Gusi bengkak

- Menjejaskan pemakanan dan penghadaman makanan

- Sakit gigi

- Menjejeaskan percakapan

- Gigi berlapis

Menurut Pakar Pergigian dan Ortodontik Kanak-Kanak Dr Zalina Azizi, gigi yang sihat akan menjadikan kanak-kanak lebih berkeyakinan dari segi mental, fizikal dan sosial.

“Amat penting bagi ibu bapa memastikan anak mendapat penjagaan gigi sepenuhnya bermula ketika lahir iaitu sebelum gigi mereka tumbuh.

“Setiap kali selepas bayi menyusu, bersihkan dalam mulut bayi menggunakan sapu tangan atau kain bersih yang lembap. Apabila gigi mulai tumbuh, gunakan berus gigi lembut khas untuk bayi,” katanya.

Menurut Dr Zalina, kanak-kanak perlu didedahkan dengan kaedah memberus gigi yang betul sejak mereka tumbuh gigi yang pertama bagi membiasakan mereka dengan berus gigi.

“Ketika kanak-kanak masih bayi sehingga umurnya dua tahun, lebih mudah jika ibu bapa meriba anak mereka.

“Dengan ini, kepala anak dapat diampu atau disokong pada dada ibu bapa ketika gigi diberus selain ia lebih selamat dan merapatkan hubungan antara ibu bapa dengan anak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 8:48 AM