TINI Martini, 50, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak OKU, Mei lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
TINI Martini, 50, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Shah Alam atas kesalahan menganiaya seorang kanak-kanak OKU, Mei lalu. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan menganiaya yang mungkin mendatangkan kecederaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) di bawah jagaannya.

Tini Martini, 50, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap anak majikannya dan tertuduh mengaku salah atas pertuduhan yang dilakukan antara Februari hingga Mei lalu.

Tertuduh yang akan diusir dan tidak dibenarkan kembali ke negara ini selepas tamat tempoh hukuman mengalirkan air mata ketika hukuman dijatuhkan Majistret Farah Azura Mohd Saad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan seperti mengheret, memukul, mengetuk kepala dan memijak kaki kanak-kanak perempuan OKU berusia 10 tahun itu antara Februari hingga Mei lalu.

Tertuduh dituduh mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 2:28 PM