Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia terus berkembang kukuh pada suku kedua 2017 dengan pertumbuhan 5.8 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 4.0 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

KDNK bagi suku kedua ini juga menunjukkan peningkatan lebih baik berbanding suku pertama 2017 iaitu sebanyak 5.6 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Muhammad Ibrahim berkata, perbelanjaan sektor swasta menjadi pemacu utama pertumbuhan terbabit selain didorong pertumbuhan kukuh eksport kasar serta dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan di samping pelaburan swasta.

“Bagi tempoh enam bulan, ekonomi berkembang 5.7 peratus dan ekonomi Malaysia kekal dalam momentum menaik sejak suku kedua 2016.

“Permintaan dalam negeri dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan manakala bagi sektor luaran, eksport dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan global yang lebih kukuh daripada jangkaan,” katanya pada sidang media prestasi ekonomi suku kedua 2017, di sini, semalam.

Beliau berkata, BNM menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang melebihi 4.8 peratus bagi tahun ini.

“Menerusi jumlah KDNK direkodkan pada separuh pertama 2017 sebanyak 5.7 peratus, kami percaya unjuran untuk tahun ini akan lebih positif,” katanya.

Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatat pertumbuhan dan sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku kedua manakala peningkatan dalam subsektor borong serta runcit didorong perbelanjaan isi rumah lebih tinggi.

Menurutnya, permintaan dalam negeri dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan manakala bagi sektor luaran, eksport dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan global yang lebih kukuh daripada jangkaan.

“Inflasi keseluruhan diunjurkan lebih sederhana pada separuh kedua 2017, mencerminkan kesan daripada faktor kos global yang semakin berkurang.

“Bagi tahun ini secara keseluruhan, inflasi dijangka berada dalam julat purata 3.0 peratus hingga 4.0 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Ogos 2017 @ 6:11 AM