Teo Chee Kong diiringi pegawai SPRM ke lokap mahkamah sebelum prosiding pendakwaan terhadapnya dijalankan berhubung pecah amanah peruntukan kerajaan bernilai RM180 juta di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Teo Chee Kong diiringi pegawai SPRM ke lokap mahkamah sebelum prosiding pendakwaan terhadapnya dijalankan berhubung pecah amanah peruntukan kerajaan bernilai RM180 juta di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Fardy Bungga


BEKAS Timbalan Pengarah Jabatan Air Sabah (JANS) Teo Chee Kong mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah membabitkan projek bekalan air di negeri ini antara 2010 hingga 2016.

Teo, 52, dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2011 atas kesalahan memiliki 70 bidang tanah hasil aktiviti haram menerusi 78 transaksi membabitkan nilai RM12.705 juta.

Selain itu, beliau juga dikenakan 68 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2011 membabitkan enam kesalahan memiliki wang tunai sebanyak RM7.930 juta termasuk mata wang asing.

Manakala 62 lagi pertuduhan dijalankan atas kesalahan memiliki wang di dalam lapan akaun bank yang dipercayai hasil aktiviti haram bernilai RM12.287 juta.

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong membenarkan ikat jamin RM1.5 juta dengan dua penjamin tempatan dan wang deposit sebanyak RM500,000.

Mahkamah turut mengarahkan Teo menyerahkan pasport dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap Sabtu serta menetapkan pengurusan kes pada 16 Januari depan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Roland Cheng dan Hamid Ismail.

Terdahulu Tengku Amir memohon kepada mahkamah supaya memberikan ikat jamin sebanyak RM10 juta atas alasan kes ini mempunyai pertuduhan yang banyak dan membabitkan kepentingan awam.

Namun permohonan itu ditolak atas alasan tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Teo yang pernah ditahan SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan agihan projek bekalan air di Sabah tahun lalu ditahan semula di satu lokasi kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Pada 4 Oktober 2016, SPRM melancarkan Ops JANS membabitkan penyelewengan dana oleh JANS yang mana pada fasa pertama operasi, pasukan penyiasat merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM53 juta daripada dua suspek yang ditahan.

Pada fasa kedua Januari lalu pula, SPRM menahan 35 Ketua Bahagian dan Daerah JANS bagi membantu siasatan penyelewengan dana infrastruktur jabatan berkenaan.

Susulan operasi fasa kedua itu, SPRM membuka 10 kertas siasatan dan memfailkan pelucutan hak wang rasuah yang disita berjumlah kira-kira RM21.78 juta mengikut Seksyen 56 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:44 PM