TUNKU Imran (tengah) bergambar bersama barisan atlet cemerlang Sukan SEA Singapura 2015.
TUNKU Imran (tengah) bergambar bersama barisan atlet cemerlang Sukan SEA Singapura 2015.
Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yakin atlet negara mampu memecahkan rekod terbaik 111 pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2011 apabila Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu pada 2017.

Presiden MOM Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, sasaran itu dianggap realistik jika mengambil kira prestasi semasa khususnya atlet muda di pentas antarabangsa.

“Kita dapat 111 pingat emas pada 2001. Tiada sebab kita tidak boleh melakukannya pada 2017. Saya fikir sasaran itu realistik kerana banyak acara sukan yang kita cemerlang tidak dipertandingkan di Singapura (Sukan SEA 2015).

“Prestasi atlet muda juga bagus di Singapura dan mereka akan lebih baik pada 2017. Jadi saya harap pihak persatuan sukan kebangsaan akan berusaha membantu kecemerlangan atlet supaya kita boleh mencapai sasaran itu,” katanya selepas Majlis Anugerah Cemerlang Atlet Sukan MOM-SportsToto semalam.

Seramai 29 atlet daripada sukan badminton, renang, terjun, memanah, olahraga, gimnastik, ekuestrian, billiard dan snooker, tenpin bowling, berbasikal, petanque, pelayaran, skuasy, ski air, pencak silat dan wushu menerima ganjaran sebanyak RM27,000 atas kejayaan menyumbang emas di Sukan SEA Singapura Jun lalu.

Lima pasukan terbaik, bola keranjang, hoki lelaki serta wanita, sepak takraw dan wushu menerima habuan keseluruhan RM16,900.

Di Singapura, kontinjen negara meraih 62 emas daripada 35 acara sukan.

Mengulas mengenai persiapan penganjuran Sukan SEA kali keenam di Kuala Lumpur sejak 2001, Tunku Imran berkata, ketika ini mereka masih dalam peringkat perancangan khususnya bagi memilih venue terbaik.

“Saya fikir perkara penting untuk membuat persiapan ini adalah perancangan perlu dilakukan dengan baik. Pihak persatuan sukan kebangsaan dan sekretariat Sukan SEA sedang memilih venue yang sesuai di Kuala Lumpur kerana sesuatu pertandingan itu tidak semestinya dilangsungkan di gelanggang yang biasa digunakan.

“Kami sedang meneliti untuk memilih PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) bagi menjadi venue lima atau enam acara, KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) untuk enam sukan. Jadi, di situ sudah ada 12 sukan yang boleh dilangsungkan di Kuala Lumpur.

“Kita juga melihat kemudahan di tempat lain kerana kami tidak mahu membina yang baru cukup dengan membuat penambahbaikan fasiliti sedia ada kecuali pembinaan velodrom di Nilai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:50 AM