ROONEY buat penampilan  ke-100 bersama England, Ahad ini.
ROONEY buat penampilan ke-100 bersama England, Ahad ini.
Reuters

London: Selepas berjaya mengelakkan kejatuhan awal dalam aksi kelayakan Euro 2016 seperti dialami beberapa negara pilihan, England yakin untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan Kumpulan E menentang Slovenia di laman sendiri, awal pagi Ahad ini.

Ketika pasukan seperti Jerman, juara bertahan Sepanyol, Belanda dan Portugal tewas mengejut, anak buah Roy Hodgson pula melakar rekod bersih 100 peratus selepas perlawanan di tempat lawan menewaskan Switzerland (2-0) dan Estonia (1-0) serta kemenangan ke atas San Marino (5-0) di laman sendiri.

Kemampuan menewaskan Norway 1-0 dalam aksi persahabatan menunjukkan mereka masih belum melepaskan sebarang gol musim ini selepas menamatkan kedudukan di tangga terbawah peringkat kumpulan di Piala Dunia Brazil.

Switzerland yang dilabel pencabar terkuat kali ini, sudah tewas dua daripada tiga perlawanan dan Slovenia tewas perlawanan pembukaan menentang Estonia.

Mereka mempamerkan kebangkitan menewaskan Switzerland dan Lithuania yang bertemu awal pagi Ahad nanti.

Bagaimanapun, Hodgson terlalu berpengalaman untuk menaruh keyakinan tinggi dan dia gembira tidak berdepan masalah serius dalam senarai 26 pemain yang turut menyenaraikan penyerang West Bromwich dipanggil buat kali pertama, Saido Berahino.

Ketika penyerang Manchester United Wayne Rooney dan pemain Arsenal Danny Welbeck tidak mempunyai masalah untuk diturunkan, Berahino terpaksa menunggu hingga aksi persahabatan di tempat lawan menentang Scotland untuk penampilan pertamanya.

Sebaliknya Rooney dijangka muncul pemain kesembilan England meraih penampilan ke-100 pada awal pagi Ahad ini.

“Saya bangga menyertai kelompok pemain berkenaan dan ia sesuatu yang saya dan keluarga amat hargai,” katanya.

Selepas menjaringkan gol untuk England dalam dua perlawanan terakhir, dua lagi jaringan akan membolehkan Rooney mengatasi Jimmy Greaves untuk muncul penjaring ketiga terbanyak negaranya dengan 45 gol.

Penyerang Slovenia berusia 35 tahun, Milivoje Novakovic turut berada pada prestasi terbaik. Dia yang beraksi bersama kelab Jepun, Shimizu S-Pulse menjaringkan kesemua tiga gol yang membolehkan mereka menewaskan Switzerland dan Lithuania selain beraksi dua pertemuan menentang England pada 2009 dan Piala Dunia 2010 - aksi yang menyaksikan mereka tewas kedua-duanya dengan satu jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:06 AM