Reuters

Tallinn

Jaringan Wayne Rooney pada minit ke-74 melalui sepakan percuma membantu England menewaskan Estonia yang beraksi 10 pemain, 1-0 pada perlawanan kelayakan Euro 2016 pagi semalam.

Rooney kini hanya kurang enam gol berbanding pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman England, Bobby Charlton yang menyumbat 49 gol seluruh kariernya.

Rooney melakukan rembatan lencong dari penjuru kotak penalti selepas Raheem Sterling dikasari dan walaupun penjaga gol Sergei Parelko berjaya menyentuh bola, namun gagal menghalangnya daripada menerjah gawang.

Ketua pasukan England yang beraksi 99 kali di peringkat antarabangsa, sudah menjaringkan 43 gol, satu gol di belakang Jimmy Greaves yang berada di tempat ketiga keseluruhan.

Estonia beraksi 10 pemain kali kedua berturut-turut di peringkat kelayakan apabila ketua pasukan, Ragnar Klavan diperintah keluar padang kerana menerima kad kuning kedua pada minit ke-49 selepas mengasari Fabian Delph.

Bagaimanapun, mereka berjaya mengecewakan England dalam tempoh yang lama sebelum pelawat menjaringkan gol untuk mengekalkan permulaan cemerlang dengan mencatat kemenangan kali ketiga berturut-turut.

Rooney mampu memintas rekod Greaves dan menghampiri rekod Gary Lineker yang menjaringkan 48 gol, tetapi terlepas dua peluang terbaik pada babak pertama, salah satu pada masa kecederaan apabila rembatannya tepat ke dakapan Parelko.

"Kami sedar ia akan menjadi halangan yang sukar, tetapi bagus buat kami kerana mencatat kemenangan.

"Lebih menggembirakan, kami menurunkan pasukan yang muda dan dapat bertahan selain mempamerkan permainan terbaik," kata Rooney.

Pengurus England Roy Hodgson berkata, pasukannya sudah mempamerkan permainan cemerlang pada separuh masa pertama, tetapi gagal menyempurnakan beberapa peluang.

"Memang mengecewakan pada aksi separuh masa kedua, terutama selepas berjaya mendominasi perlawanan dan memiliki beberapa peluang keemasan.

"Kini kami menang empat perlawanan terakhir dan kekal tidak bolos lima kali," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:10 AM