NAZRI  (dua dari kiri)merasmikan Travel Malaysia Fair di Singapura.
NAZRI (dua dari kiri)merasmikan Travel Malaysia Fair di Singapura.
DURIAN Musang King.
DURIAN Musang King.
Oleh Rosli Mansor Ahmad Razali


Isinya yang kekuningan dan rasanya berlemak menjadikan durian Musang King sentiasa mendapat sambutan hangat terutama penggemar raja buah itu.

Bijinya yang nipis dan isi tebal juga membuatkan durian Musang King atau turut dikenali sebagai Raja Kunyit, variati durian D197 ini puas dinikmati.

Dek keunikan rasanya, durian Musang King kini menjadi tarikan baru pelancong ke Perak khasnya di bandar raya Ipoh selain pelbagai produk pelancongan lain di negeri itu.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Perak sememangnya antara negeri pengeluar durian terkenal di Malaysia.

“Usaha Destination Perak memperkenalkan produk durian Musang King ke peringkat antarabangsa bertepatan dan ada nilai komersial tinggi. Kebanyakan rakyat Singapura menjadikan Perak sebagai destinasi persingahan untuk menikmati raja buah itu.

“Ipoh bukan sahaja diingati sebagai syurga makanan oleh masyarakat Singapura, malah terkenal dengan keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara. Keunikan gua batu kapurnya yang berusia jutaan tahun masih bebas daripada pembangunan dan pencemaran,” katanya selepas merasmikan Travel Malaysia Fair di Singapore Expo Convention & Exhibition Centre di Singapura, baru-baru ini.

Travel Malaysia Fair bermula sejak tahun 2007, anjuran Tourism Malaysia berlangsung pada 16 hingga 18 Oktober lalu. Beberapa negeri lain seperti Terengganu, Johor dan Sabah turut mempamerkan produk dan pakej pelancongan masing-masing.

Mohamed Nazri merasmikan dua pelancaran pakej yang dibawa Destination Perak iaitu Ipoh Adventure dan Moasang­king@Ipoh. Tourism Perak turut melancarkan Fun Map Ipoh yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Eksekutif Destination Perak, Abdul Raheem Mohammad.

Menurut Nolee Ashilin, Singapura mencatatkan bilangan pelancong paling ramai berkunjung ke Perak. Potensi itu cukup memberangsangkan bagi menjana sektor pelancongan Perak.

“Kemudahan pengangkutan darat dan udara makin baik di Perak. Penerbangan dari Ipoh ke Singapura oleh beberapa syarikat penerbangan kian berkembang pesat dan mendapat sambutan.

“Ini membuka peluang kepada kita untuk mewujudkan rangkaian pemasaran pakej menerusi Singapura,” katanya.

Abdul Raheem pula berkata, pelancaran dua pakej itu bakal merancakkan industri pelancongan Perak.

Menurutnya, pihaknya memfokuskan produk terbaru itu sempena cuti sekolah di Singapura pada Disember depan.

“Saya percaya dua pakej ini akan menarik lebih ramai pelancong dari Singapura. Untuk pakej Ipoh Adventure, kami bekerjasama dengan River Bug iaitu syarikat yang mengendalikan aktiviti sukan air lasak di Gopeng.

“Kami turut menyediakan pengangkutan percuma selain hadiah ‘dry beg’, sesuai digunakan untuk aktiviti lasak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Oktober 2015 @ 11:14 AM