Kulim: Kerajaan Kedah merancang membangunkan ‘Aerocity’ berhampiran tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang pembinaannya sedang menunggu kelulusan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, walaupun cadangan pembinaan KXP di Sidam Kiri, dekat sini, belum mendapat lampu hijau kerajaan Pusat, banyak syarikat menyatakan minat melabur dalam bidang aeroangkasa di KXP.

Katanya ‘Aerocity’ itu akan menjadi kluster industri aeroangkasa terutama dalam pembuatan komposit kapal terbang.

“KXP dicadangkan bukan hanya lapangan terbang, tetapi menawarkan ruang industri aeroangkasa dan mewujudkan ‘Aerocity’ di KXP.

“Kita di Malaysia sudah ada keupayaan reka bentuk dan keluarkan bahagian serta komponen pesawat. Ini kelebihan kita,” katanya selepas merasmikan majlis penutup program ‘SAINS on Wheel’ di Silterra Malaysia di Kulim Hi-Tech Park, di sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah Nor Sabrina Mohd Noor dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) Tan Sri Abdul Halim Ali.

Mukhriz berkata ada juga permintaan terhadap industri pembaikan, penyelenggaraan dan baik pulih (MRO) yang boleh melengkapkan cadangan ‘Aerocity’ itu.

Menurutnya, industri aeroangkasa di negara ini semakin berkembang dengan ada syarikat tempatan membuat komposit kapal terbang untuk syarikat besar seperti Boeing dan Airbus.

“Namun, ia tidak diklusterkan. Ada di Melaka, ada di Subang dan ada Changlun, Kedah, jadi bila ada cadangan buat kawasan yang dekat dengan KXP, ia menjadi tarikan pelabur,” katanya.

Katanya, selain lokasi, tarikan lain ialah kewujudan sektor sokongan dalam sektor eletronik, peralatan khas dan komponen di zon utara seperti di Kulim Hi-Tech Park yang boleh membantu syarikat mendapat barangan diperlukan dengan mudah.

“Bagi pihak kita, kerajaan negeri tidak duduk diam. Kita berbincang dengan pelbagai pihak. Pembinaan lapangan terbang itu boleh menjadi pencetus ekonomi di zon utara bukan hanya Kedah tetapi juga Perlis, Pulau Pinang dan Perak selain selatan Thailand,” katanya.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:04 AM