Kereta yang diletakkan di kawasan tunda. FOTO Nabihah Kamal
Kereta yang diletakkan di kawasan tunda. FOTO Nabihah Kamal
Oleh Nabihah Kamal


Kuala Lumpur: Segelintir masyarakat rela menanggung risiko daripada meletakkan kenderaan di kawasan parkir yang disediakan.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Stesen Komuter Kepong Sentral mendapati, walaupun ada kawasan parkir yang disediakan oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan bayaran RM4.25 untuk sekali masuk, masih ramai yang meletakkan kenderaan di kawasan larangan.

Menurut penjaga parkir berkenaan, Tajuddin Hasim,32, berkata, mereka rela kereta disaman dan ditunda oleh pihak berkuasa daripada mengeluarkan wang sebanyak RM4.25 sehari.

“Mereka turut menghalang lalu lintas terutama ketika membuat pusingan U di kawasan berkenaan dan menyukarkan pemandu teksi untuk menurunkan penumpang ," katanya.

Sementara itu, jurucakap Majlis Perbandaran Selayang (MPS) berkata, pihaknya sudah meletakkan papan tanda zon tunda di kawasan larangan meletak kenderaan itu.

"Individu yang meletakkan kenderaan di bahu jalan ini rela menanggung risiko kenderaan dipecah atau dicuri.

"Walaupun setiap hari kami mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan yang meletakkan kenderaan mereka di kawasan larangan, mereka masih degil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 8:43 PM