Norasikin Daineh

Tawau: Media Prima Berhad menerusi Tabung Bencana NSTP-Media Prima menyerahkan bantuan kepada 1,200 penduduk yang terjejas dalam kebakaran di Kampung Habib Abdul Rahman dan Kampung Titingan, dekat sini, hari ini.

Bantuan keperluan harian seperti bantal, tilam, selimut, barang makanan dan dapur gas diagihkan kepada 238 keluarga yang terjejas dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi Rabu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Tawfiq berkata, pihaknya amat menghargai bantuan itu.

“Kita bersyukur kerana dalam keadaan menghadapi kesedihan dan kehilangan segala-galanya, ada banyak pihak begitu prihatin dengan musibah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyampaian sumbangan oleh wakil Tabung Bencana NSTP-Media Prima, Norasikin Daineh kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Alijus Sipil, di perkarangan Masjid Habib Abdul Rahman.

Bantuan bernilai RM300 untuk setiap keluarga yang diagihkan itu adalah usaha kerjasama GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2016 @ 7:07 PM