KHAIRY  bersama Pelayar Negara pada pelancaran kira detik 62.
KHAIRY bersama Pelayar Negara pada pelancaran kira detik 62.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Putrajaya: Persatuan Pelayaran Malaysia (MSA) masih menaruh harapan untuk melayakkan atletnya ke Olimpik Rio 2016 selepas mempunyai wakil pada beberapa edisi Sukan Olimpik sebelum ini.

Menurut Presiden MSA Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim, mereka masih mencuba dan berusaha untuk meneruskan tradisi berkenaan.

Pada 2012, Khairulnizam Mohd Afendy (gambar) meneruskan legasi pelayar negara untuk mara ke Olimpik London selepas Kevin Lim layak pada empat temasya terdahulu bermula di Atlanta 1996 hingga Beijing 2008.

Peluang pelayar negara masih terbuka terutamanya dengan beberapa negara Asia yang kuat sudah melayakkan diri termasuk China, Korea dan Singapura.

“Saya yakin peluang untuk kita turut layak cerah,” katanya.

Terdahulu Kamaruzzaman mengumumkan Kejohanan Perahu Layar Remaja Dunia (YWC) dengan kerjasama Persekutuan Perahu Layar Dunia (ISAF) di Pulau Langkawi pada 27 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016.

Malaysia menghantar 14 peserta bersaing dalam sembilan acara pada kejohanan yang membabitkan penyertaan pelayar dari 80 negara.

“Sasaran adalah untuk mengatasi pencapaian pingat perak di Portugal tahun lalu,” jelasnya.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap kejohanan berkenaan menjadi asas kepada matlamat bersama pihaknya untuk memenangi pingat pertama di Olimpik 2020 di Tokyo.

“Sudah pasti kejohanan ini akan memberikan pendedahan tidak ternilai, ia hadir tepat pada masanya selepas kejayaan di Sukan SEA,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:38 AM