Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Buruh kontrak maut selepas ditikam di pinggang dipercayai menggunakan pisau kecil oleh seorang lelaki selepas berlaku pertengkaran di kawasan rumah setinggan, Jalan Kebun Teh Lama di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7.50 malam itu, mangsa, Sahral Asmara, 56, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, mangsa ditikam menggunakan senjata tajam disyaki pisau kecil di bahagian pinggang sebelah kanan.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian itu berpunca akibat pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek yang dikatakan hanya kerana sepasang selipar yang terkena najis anjing.

"Suspek kemudian masuk ke dalam rumah dan terus menikam mangsa sebelum melarikan diri, manakala mangsa sempat meminta pertolongan jiran yang seterusnya membawanya ke hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 12:26 PM