Izlaily Nurul Ain Hussein

WANITA cedera ditikam suaminya selepas dipercayai bertengkar dalam kejadian di Kempas Baru, Johor Bahru, hari ini.

Mangsa yang berusia 41 tahun itu ditikam di perut sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Difahamkan, suaminya yang berusia 49 tahun turut menikam diri sendiri di perut menyebabkan dia parah.

Suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan dan dilaporkan kritikal.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.45 petang sebelum ke lokasi kejadian.

"Polis mendapati kedua-dua mereka cedera dalam sebuah rumah dan dibawa ke hospital dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

"Polis juga masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif kejadian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Julai 2017 @ 2:47 AM