Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Polis sedang giat menjalankan operasi besar-besaran bagi menjejaki suspek yang melarikan diri selepas menikam seorang anggota polis di Jalan Ungku Puan di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sehingga kini, pihaknya belum seratus peratus mengenal pasti identiti suspek dan masih mengumpul sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.

"Kita sedang buat operasi besar-besaran. Kita cari dari rumah ke rumah sekitar daerah ini.

"Kita masih dalam usaha dapatkan petunjuk mengenai suspek. Agak sukar kerana ketika kejadian, hanya nampak mata suspek sahaja. Suspek pakai pelitup muka, kemudian pakai 'snow cap', rambut pun tidak nampak panjang atau pendek.

"Keadaan lokasi kejadian gelap, suspek pakai baju lengan panjang dan warna hitam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang anggota polis berpangkat konstabel, parah ditikam seorang individu yang ditahan dalam Op Tapis Khas Semalaysia di tempat letak kereta berbayar, Jalan Ungku Puan di sini, kira-kira jam 2.30 pagi.

Mangsa yang berusia 22 tahun mengalami luka dalaman akibat ditikam menggunakan sebilah pisau di bahagian rusuk belakang sebelah kiri.

Dilaporkan, kejadian berlaku ketika mangsa dan dua rakan setugas lain sedang memeriksa tiga individu termasuk suspek kerana disyaki terbabit kegiatan penyalahgunaan dadah.

Suspek yang dipercayai warga tempatan itu secara tiba-tiba cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan sehingga mangsa ditikam olehnya.

Sementara itu, Raub berkata, mangsa masih dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dan keadaannya stabil.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kes terbabit mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 186 kanun keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau suspek boleh terus menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau Pegawai Penyiasat kes Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid 017-2765250.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Julai 2023 @ 5:51 PM