Kuala Lumpur: Perancangan tersusun menjadi kunci kecemerlangan Chong Wei Feng apabila berjaya menumpaskan pemain pilihan kelima dari Korea Selatan, Son Wan Ho pada pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka China 2014 semalam.

Wei Feng mengambil masa 47 minit menumbangkan Wan Ho 21-14, 22-20 di Pusat Sukan Olimpik Haixia.

Menurut pemain ranking ke-24 dunia itu, dia mahu mengulangi aksi cemerlang seperti tahun lalu apabila mara ke separuh akhir sebelum tumpas kepada penyandang juara, Chen Long.

“Saya bermain dengan penuh kesabaran, segala perancangan saya menjadi,” katanya yang bakal berdepan pemain Jepun, Sho Sasaki di pusingan kedua hari ini.

Jelasnya, tidak ada senjata rahsia mahupun strategi luar biasa ketika menumpaskan Wan Ho semalam, sebaliknya beraksi mengikut rentaknya sendiri.

Ditanya pertemuan dengan Sasaki, Wei Feng berkata, dia mahu membalas dendam kerana pernah tumpas dua kali kepada pemain veteran Jepun itu.

“Saya pernah menewaskannya sebelum ini di kejohanan sama dua tahun lalu, tetapi dia juga mengalahkan saya dua kali tahun ini di Siri Super Premier Terbuka Malaysia dan Siri Super Terbuka India,” katanya.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki Tan Boon Heong-Hoon Thien How mara ke pusingan kedua disekat apabila kalah kepada pilihan keempat dari Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 15-21, 21-18, 15-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:09 AM