FOTO ihsan abcnews
FOTO ihsan abcnews

Kuala Lumpur: Gara-gara mencuri wang untuk membayar sewa rumah tertunggak, seorang pekerja hotel dihukum penjara sehari dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhi hukuman itu terhadap Nurul Amira Omar, 23, selepas dia mengaku bersalah mencuri wang tunai RM600 dari kaunter juruwang di Hotel Vivatel, Jalan Loke Yew, Cheras di sini, pada 22 Jun dan 1 September lalu.

Peguam Zulkifli Awang, mewakili Nurul Amira, memohon hukuman terhadap anak guamnya yang berkhidmat sebagai pembantu perkhidmatan tetamu di hotel itu diringankan kerana dia melakukan kesalahan atas kesempitan hidup untuk membantu ibu bapanya yang menghidap penyakit kencing manis dan membayar tunggakan sewa rumah.

Di mahkamah sama, rakan sekerja Nurul Amira, Roaquin Radzmund Muhammad Reduan Francis, 21, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM1,300 selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai berjumlah RM900 dari kaunter juruwang di hotel sama pada 29 Ogos dan 1 Oktober lalu.

Zulkifli yang juga mewakili Roaquin Radzmund, memohon mahkamah menjatuhi hukuman ringan terhadap anak guamnya yang berkhidmat sebagai pembantu perkhidmatan tetamu di hotel itu atas alasan dia menanggung ibu bapa dan adik-adiknya.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan mereka boleh dipenjara empat bulan jika sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 7:42 PM