HAFIZH (kiri) dan Mohd Ramdan pada sidang media. FOTO Goh Thean Howe
HAFIZH (kiri) dan Mohd Ramdan pada sidang media. FOTO Goh Thean Howe

KUALA LUMPUR: Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah berhasrat untuk mengumpul 100 mata dan menakluk podium perlumbaan Moto2 musim ini.

Hafizh berkata, bagi merealisasikan impiannya, beliau akan memastikan dirinya lebih mahir dalam menguruskan jenteranya sebelum perlumbaan dan cepat membiasakan diri dengan trek sebaik sahaja perlumbaan bermula.

"Sebagai pelumba Moto2, saya memang bercita-cita mahu naik podium tetapi ia bukan sesuatu yang mudah. Saya akan buat kejutan kepada pasukan... tapi sebelum itu saya kena pastikan jentera dalam keadaan terbaik.

"Buat lima perlumbaan awal ini, saya memang berakhir dengan keputusan yang cemerlang. Jadi saya akan pastikan rentak sama atau lebih baik bagi perlumbaan akan datang musim ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hafizh, yang kini berada pada kedudukan ke-10 carta ranking Moto2 dunia telah mengumpul 31 mata melalui lima perlumbaan awal musim ini berbanding hanya dua mata tahun lepas.

Hafizh yang menamatkan perlumbaan musim lepas dengan kutipan 42 mata berkata cabaran pada musim ini lebih sengit berbanding musim lepas yang mana beliau masih mampu menghabiskan perlumbaan dalam kelompok lima teratas dengan lebih mudah.

"Tahun lalu saya habis dalam kelompok lima terbaik dengan senang tapi tahun ini agak sukar sedikit kerana semua pelumba bekerja keras untuk lebih bagus.

Namun, saya berjanji untuk tidak berhenti dalam memberikan saingan. Latihan fizikal saya juga lebih baik sekali gus menambah keyakinan," katanya.

Mengulas mengenai penyertaan pelumba Petronas AHM Malaysia, Mohd Ramdan Rosli yang mendapat wildcard pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Catalan, Hafizh berharap Ramdan mampu membuktikan kebolehannya dan beraksi dengan lebih matang di litar. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2015 @ 7:52 PM