STOKES berdiri di depan runtuhan hospital berkenaan.
STOKES berdiri di depan runtuhan hospital berkenaan.

Kunduz (Afghanistan): Pengarah Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menolak dakwaan tentera Amerika Syarikat (AS) bahawa ia tersilap mengebom sebuah hospital di Kunduz, tiga minggu lalu disebabkan serangan nampak ‘menyeluruh dan tepat.’

Christopher Stokes berkata, serangan 3 Oktober lalu di hospital itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 22 pesakit dan kakitangan maut mesti disiasat sebagai satu jenayah perang.

“Serangan dibuat secara berterusan di bahagian hadapan dan belakang hospital menyebabkan kerosakan teruk walaupun kami sudah memberikan koordinat dan maklumat tepat kepada semua pihak dalam konflik itu.

“Ketepatan serangan yang begitu meluas menunjukkan ia bukan satu kesilapan. Hospital dibedil berulang kali selama lebih sejam walaupun kami menghubungi tentera Afghanistan, AS dan NATO untuk menghentikannya,” katanya.

Dia menggesa siasatan bebas terhadap kejadian itu dan mendesak penjelasan kerana perbuatan itu melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa seterusnya menjadikannya jenayah perang.

Hospital itu dibom ketika pertempuran antara Taliban dan tentera kerajaan, dalam pada penasihat AS membantu Afghanistan menawan semula bandar itu yang ditawan kumpulan militan berkenaan pada 28 September lalu.

Presiden AS Barack Obama meminta maaf atas serangan itu dan komander tentera AS serta tentera NATO di Afghanistan, Jeneral John F Campbell mengaku ia satu kesilapan.

Campbell mendakwa serangan itu dibuat atas permintaan tentera Afghanistan, tetapi dia gagal menjelaskan bagaimana ia boleh dilaksanakan termasuk siapa yang mengeluarkan arahan.

Siasatan dalaman tentera juga dijalankan terhadap insiden itu.

Associated Press melaporkan, penganalisis operasi khas AS memantau hospital itu beberapa hari sebelumnya kerana dipercayai digunakan sekutu Taliban dari Pakistan untuk menyelaraskan aktiviti kumpulan itu.

Pihak berkuasa Afghanistan enggan mengulas selagi siasatan tidak selesai. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 6:41 AM