BELANJA RM25,000 untuk pertingkat sistem audio dan lampu dalaman.
BELANJA RM25,000 untuk pertingkat sistem audio dan lampu dalaman.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Biasaannya sangat jarang untuk melihat kereta keluaran terbaru diubah suai ke tahap ekstrem.

Namun berbeza pula bagi sebuah kereta terbaru daripada Nissan di Su­ngai Petani Utara, Kedah, yang sangat terkenal selepas mengalami modifikasi pada tahap maksimum sekali gus kerap menjuarai pertandingan terutama dalam kategori audio.

Jelas, Nissan Almera yang digelar ‘King Of Almera’ itu mempunyai kualiti sistem audio terbaik serta tampil kekemasan luaran dan dalaman begitu rapi.

Jentera milik Sabrie Yusof, 36, itu baru saja mencecah umur tiga tahun tetapi ia boleh dianggap matang sekiranya melihat cara pe­ngubahsuaian yang dipenuhi pelbagai kit badan tempahan khas.

Lebih menarik, jentera itu tampil garang dengan pelekat sentuhan pemiliknya, selain unik selepas padanan spoiler tempahan khas setinggi 0.5 meter. Namun sudut luaran tidak begitu menonjol jika berbanding ruang dalamannya dengan penambahan sistem audio dan kekemasan yang ditekankan Sabrie atau popular digelar Broie Ice.

Bahagian dalaman terutama tempat duduk digantikan dengan jenama SSCUS yang menggunakan warna kombinasi jingga dan putih. Lebih menarik, bahagian tempat duduk belakang serta ruangan bumbung diceriakan seolah-olah berada dalam kenderaan mewah yang tampak unik.

Sesiapa yang duduk dalam jentera itu pasti tidak terasa bosan kerana ia dihiasi pelbagai lampu dengan padanan 18 unit skrin yang dihubungkan dua pemain cakera jenama Pioneer Mitrax AVN 1550 H double din serta Pioneer DEH-80P-RS.

Jentera terbabit juga dilengkapi amplifier jenama Formula X-800 V dan monoblok Formula X-600 V yang dibawa dari Thailand untuk kawalan sistem bunyi yang sempurna.

Ia disambung dengan dua subwoofer bersaiz 12 inci 1,500 watt dan disokong dengan empat pembesar suara jenis mid enam inci. Berikutan jentera itu menggunakan dua pemain cakera yang berbeza, ia boleh dikawal dari luaran dan dalaman.

Sepanjang terbabit dalam dunia autoshow sejak 2014, Sabrie melabur RM25,000 untuk kerja modifikasi hing­ga pernah menang hadiah ‘Best of The Best Audio­show’ di Pulau Pinang, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2015 @ 5:00 AM