BANDAR Lumut, pintu masuk utama ke Pulau Pangkor.
BANDAR Lumut, pintu masuk utama ke Pulau Pangkor.
LUMUT Waterfront dengan reka bentuk komponen landskap bertemakan maritim unik dan menarik.
LUMUT Waterfront dengan reka bentuk komponen landskap bertemakan maritim unik dan menarik.
MEMBELI-BELAH di Bazar Lumut pastinya mengujakan.
MEMBELI-BELAH di Bazar Lumut pastinya mengujakan.
AKTIVITI mandi-manda dan perkelahan di Teluk Batik sesuatu yang cukup mengujakan.
AKTIVITI mandi-manda dan perkelahan di Teluk Batik sesuatu yang cukup mengujakan.
Oleh Suliati Asri


Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa dan desiran ombak yang memukul pantai cukup mendamaikan.

Keriuhan si kecil berlari riang menikmati kebebasan di dataran Waterfront memeriahkan suasana malam minggu.

Suasana itu nyata cukup mengujakan pengunjung tidak kira masyarakat tempatan mahupun pelancong luar.

Kedamaian dan ketenangan itu juga dirasai penulis saat berkunjung ke bandar Lumut, Perak, baru-baru ini.

Bandar Lumut yang terletak di Daerah Manjung ini adalah bandar kecil yang juga pintu masuk ke Pulau Pangkor.

Satu ketika dulu, bandar Lumut dikenali sebagai Tanah Merah. Pada 16 Februari 1935, di bandar Tanah Merah ini berlaku istiadat menandatangani penyerahan Daerah Dinding kepada kerajaan Negeri Perak dan selepas itu, Tanah Merah ditukar namanya kepada Lumut.

Bagi memperingati peristiwa itu, Masjid al-Adli dibina di Lumut melambangkan kesyukuran atas penyerahan Jajahan Dinding kepada Kerajaan Negeri Perak.

Selain Masjid al-Adli yang punya cerita tersendiri, pel­bagai lagi tarikan menarik menanti anda di bandar Lumut.

Santai minggu ini menyenaraikan beberapa destinasi menarik yang boleh dikunjungi saat berkunjung ke Lumut. Selamat bercuti.

Pantai Teluk Batik

Dulunya Teluk Batik dikenali sebagai Teluk Batak pada awal kewujudannya.

Dengan keindahan pantainya dan berlatar belakang hutan hujan tropika mendamaikan, pantai yang terletak kira-kira 6.5 kilometer dari bandar Lumut ini adalah destinasi pelancongan dan perkelahan ideal untuk dikunjungi.

Selain menjadi kawasan perkelahan popular, Teluk Batik menawarkan pelbagai kemudahan bagi keselesaan pengunjung termasuk chalet, gerai makan, tandas, tempat persalinan, tempat letak kereta dan taman permainan kanak-kanak.

Taman budaya yang dilengkapi dengan komponen landskap unik dan menarik juga menjadikan Teluk Batik sebagai destinasi harus dikunjungi saat berkunjung ke Lumut.

Taman Awam Lumut Waterfront (Marina Wing)

Taman ini mempu­nyai reka bentuk komponen landskap bertemakan maritim yang unik dan menarik serta dapat menggamit pe­ngunjung untuk datang beriadah dan bersantai.

Terletak di pesisir muara Sungai Dinding, Taman Awam Lumut Waterfront membabitkan kawasan seluas 7.4 ekar ini berkonsep­kan pembangunan taman awam pesisiran pantai yang diilhamkan daripada pergerakan hidupan laut.

Taman awam ini seolah-olah menceritakan mengenai kehidupan laut yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain dan ia diadaptasikan kepada pergerakan pengunjung taman dengan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi disediakan.

Reka bentuk taman ini mempunyai kesinambu­ngan dengan laut yang sememangnya menjadi tarikan utama kepada pengunjung dan mengintegrasikan pembangunan di kawasan persekitaran dengan faktor semula jadi.

Taman awam ini juga menerapkan unsur ilmiah dengan mendidik pengunjung untuk mengenali dan menghargai keindahan alam dan sekitarnya.

Konsep landskapnya menggambarkan taman ini amat sesuai untuk aktiviti riadah. Bagi memudahkan pengunjung, taman ini dilengkapi dengan dua kios dan lima gerai yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Terminal Jeti Lumut (Jetty Wing)

Terminal Jeti Lumut ini merangkumi komponen plaza jeti yang dilengkapi kemudahan seperti restoran, kaunter tiket, tandas awam dan komponen landskap yang unik.

Beroperasi dari jam 9 pagi hingga 11 malam, terminal ini turut dilengkapi Plaza Promenade yang menarik dan sesuai untuk aktiviti santai dikenali sebagai Dataran Putra.

Bukit Engku Busu

Bukit setinggi 3331.4 meter ini mendapat namanya sempena nama Raja Engku Busu dari Selangor yang dijemput Sultan Perak pada tahun 1840-an untuk menghapuskan lanun yang bersembunyi di kawasan Selat Dinding. Sekarang, bukit ini menjadi tumpuan bagi aktiviti pendakian, merentas hutan dan berkhemah. Di puncak­nya pengunjung berpeluang menyaksikan panorama indah di bandar Lumut.

Pulau Pangkor

Pangkor , dengan gabungan menawan perkampungan nelayan dan resort adalah destinasi percutian menarik dan selesa. Ia me­nyajikan pengunjung dengan peluang yang jarang diperoleh untuk mendekati kehidupan nelayan dan memerhati cara hidup mereka dan juga sekadar menikmati pantai yang halus dan kemudahan resort.

Nelayan tinggal di penempatan bertaburan di sebelah timur, menghadap pekan Lumut dan Teluk Batik. Pelawat berpeluang untuk melihat sebahagian daripada mereka semasa 40 minit perjalanan feri dari Lumut ketika berhenti di penempatan utama Sungai Pinang Kecil dan Sungai Pinang Besar sebelum mendarat di pekan Pangkor.

Dua kawasan pantai yang terkenal iaitu Pasir Bogak dan Teluk Nipah menawarkan kepada peminat aktiviti laut seperti aktiviti menyelam, luncur angin dan memancing.

Walaupun Pasir Bogak agak maju, Teluk Nipah masih lagi mengekalkan suasana kampung. Teluk Ketapang atau Teluk Penyu masih menerima kehadiran penyu untuk singgah bertelur.

Beberapa resort di pulau itu juga mempunyai padang golf yang sangat baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:02 AM