HARYANTY (kiri) berbincang dengan Pengarah Kejohanan Husain Jahit (kanan), Pengurus Projek  Harian Metro Abdul Kadir Hamza (tiga dari kanan) dan Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MPSP Wan Junaidy Yahaya (tiga dari kiri).
HARYANTY (kiri) berbincang dengan Pengarah Kejohanan Husain Jahit (kanan), Pengurus Projek Harian Metro Abdul Kadir Hamza (tiga dari kanan) dan Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MPSP Wan Junaidy Yahaya (tiga dari kiri).
Oleh Salman Hamat

Butterworth

Bahang Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 semakin dapat dirasakan apabila ada antara peserta mengambil bahagian difahamkan sudah mula membuat tempahan awal penginapan masing-masing sebagai persediaan untuk berkayuh.

Timbalan Pengarah Pejabat Tourism Malaysia Pulau Pinang Haryanty Abu Bakar berkata, pihaknya menjangkakan sebahagian besar kemudahan penginapan di negeri itu akan penuh berikutan peningkatan jumlah pelancong pada musim cuti perayaan Deepavali.

Sebagai persediaan dan mengelak peserta berdepan masalah pihaknya mendapatkan kerjasama daripada dua agensi pelancongan iaitu Sheba Travel & Tours dan Jouis Holiday Travel & Tour bagi menyediakan kemudahan penginapan kepada mereka yang berminat.

"Kepada peserta yang belum membuat tempahan tidak perlu risau, mereka boleh merujuk kepada kami bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi penginapan atau pakej disediakan agensi pelancongan itu.

"Kami sememangnya memberikan keutamaan mengenai kemudahan penginapan kerana mahu setiap peserta dapat berkayuh dalam keadaan bertenaga serta memberikan tumpuan sepenuhnya pada kejohanan itu nanti," katanya.

Haryanty berkata, pihaknya turut mendapat panggilan daripada pelancong luar negara yang menyatakan hasrat untuk hadir dan menyertai Kejohanan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014.

Beliau berkata, kejohanan itu secara tidak langsung mampu menjadi pencetus kepada peningkatan kunjungan pelancong ke destinasi menarik di kawasan tanah besar (Seberang Perai).

Sebelum ini pelancongan lebih tertumpu di bahagian pulau sedangkan tiga daerah di tanah besar iaitu Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU) juga mempunyai pelbagai destinasi menarik dan keindahan alam yang masih belum diteroka.

Antara lokasi menarik di sebelah tanah besar adalah Juru Auto City, Penang Bird Park, Taman Negeri Bukit Panchor dan Nibong Tebal Firefly Watching di Nibong Tebal iaitu produk pelancongan terkini yang giat dipromosikan.

"Peserta juga boleh memilih lokasi penginapan mengikut keselesaan masing-masing iaitu di bahagian pulau atau tanah besar. Mereka yang menginap di pulau dijamin tidak mengalami kelewatan untuk tiba di gelanggang kejohanan.

"Pulau Pinang mempunyai jaringan jalan raya yang amat baik, mereka boleh memilih untuk menggunakan Jambatan Pulau Pinang atau Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) selain berasa pengalaman menyeberang ke tanah besar menggunakan perkhidmatan feri," jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:10 AM